Isnin, April 30, 2007

Makanan Untuk Menjadi Kaya

Salam Sejahtera,

Topik hari ini agak luarbiasa bunyinya. "Makanan Untuk Menjadi Kaya!" Sudah tentu selepas ini ramai yang akan berebut-rebut cuba mendapatkannya di pasaran walaupun berapa pun harganya. Apa tidaknya hanya dengan makan anda boleh menjadi kaya? "Terlalu ajaib pulangannya?", kata salah seorang daripada mereka yang mendengarnya. "Erk..! tetapi ini bukannya seperti pulangan Skim Pelaburan Internet", jelas saya tetapi ianya adalah BENAR! Baiklah anda tidak percaya? Biar saya berkongsi dengan anda mengenai kajian ini jika anda semua serius untuk menjadi kaya melalui pemakanan anda.

Menurut kajian pakar, IQ seseorang dipengaruhi oleh keturunan, tetapi kecerdasan otak dan kesihatan badan boleh diperbaiki dengan mengambil nutrien yang seimbang untuk membantu perkembangan minda yang cemerlang.
Statistik menunjukkan skor purata IQ manusia adalah 100 dan orang biasa memiliki skor IQ antara 85 hingga 115. Tahap IQ seseorang juga dipengaruhi oleh bekalan dan penggunaan nutrien oleh sel-sel otak.
Menurut kajian yang dibuat oleh saintis, mereka mendapati tahap kealkalian dan keasidan cecair dalam otak menjadi penentu tahap IQ. IQ menjadi rendah apabila cecair dalam otak bersifat asid (benarlah ada petua yang mengatakan pengambilan makanan seperti asam jeruk boleh melemahkan IQ) dan tinggi apabila bersifat beralkali. Bagi meningkatkan kecerdasan otak, perbanyakkan mengambil makanan bersifat alkali.
Makanan berasid mengandungi fosforus, klorin, sulfur dan iodin misalnya daging, bijirin, lemak dan minyak. Protein daripada makanan jenis ini berasid dan pengambilan yang terlalu banyak boleh menyebabkan kalsium dan Vitamin B1 dalam tubuh badan berkurangan. Akibatnya mental menjadi tidak stabil, lembap dan peredaran darah tidak lancar. Makanan alkali pula kaya dengan kalium, natrium, kalsium dan magnesium seperti buah-buahan, sayuran, kekacang, bahan tenusu dan minuman beralkali. Nasihat saya buat pilihan makanan yang tepat agar anda dapat memelihara dan mengembangkan potensi minda anda dan seterusnya anda berupaya untuk berfikiran kaya, jadi pilihlah makanan yang boleh membantu meningkatkan kekayaan fikiran anda.

Salam Kekayaan,

Thinkerich

Ahad, April 29, 2007

Salam Kekayaan

Salam sejahtera dan salam kekayaan kepada semua,

Apabila kita berbicara tentang kekayaan fikiran kita terus terbayang akan wang ringgit yang banyak, harta yang berlimpahan dan apa sahaja yang berkaitan dengan material yang melambangkan kemewahan dan kekayaan harta di dunia ini. Memang benar bukan? Saya pasti tanggapan ini yang pasti terlintas terlebih dahulu di benak anda sebaik sahaja mendengar perkataan KAYA!
Baiklah, bagi tidak mengecilkan skop atau makna KAYA itu kepada kita semua, saya akan mengambil inisiatif untuk membicarakan tentang apa sahaja subjek tentang kekayaan agar hidup kita lebih 'kaya' dengan ilmu yang bermanfaat untuk bekalan hidup di dunia mahu pun di akhirat. Nantikan kupasan menarik dari saya setiap hari dan jangan lupa jadikan blog ini sebagai teman anda setiap masa.

Salam kekayaan,

Thinkerich

Sabtu, April 28, 2007

Visi Thinkerich

Thinkerich adalah individu yang mempunyai idea dan cita-cita yang besar dalam usaha menjayakan visi dan misi 'Kekayaan' bagi setiap individu lain melalui perangkaan semula daya fikir supaya sentiasa berada pada tahap yang KAYA dan sarat dengan ilmu. Melalui blog ini anda akan dapat memperolehi sesuatu yang berharga berdasarkan kepada prinsip untuk melahirkan lebih ramai para pemikir kaya..bukan sekadar material tetapi ilmu melalui aset paling berharga kita semua iaitu akal dan fikiran. Maklumat dan informasi berkaitan dengan apa sahaja bentuk kekayaan akan diketengahkan melalui artikel-artikel berkaitan keusahawanan, kepenggunaan,dan kewangan peribadi.Di samping itu pengunjung blog ini juga bakal disajikan dengan falsafah dan idea-idea kekayaan yang boleh direnungkan dan dipraktikkan bersama. Nasihat-nasihat dan panduan yang relevan dari semasa ke semasa akan cuba ditampilkan dengan sebaik mungkin untuk tatapan pengunjung blog ini. Bersiap sedia untuk mencipta kekayaan bersama 'Thinkerich'.

Salam kekayaan,

Thinkerich