Selasa, November 13, 2007

HARTA KEKAYAAN, TIDAK BOLEH BAWA KE MATI?

“Buat apa susah-susah kumpul harta kekayaan di dunia ni,
bukannya boleh bawa ke kubur/mati!”



Tuan/puan, saudara/saudari sekalian,

Pernahkan anda mendengar ungkapan seperti ini? Saya percaya anda sudah biasa mendengarnya bukan? Setiap kali ada di antara kita memberikan pandangan atau pun nasihat kepada kita sekiranya melihat kita bersungguh-sungguh berusaha mencari harta kekayaan di dunia ini. Sama ada kata-kata itu nasihat atau pun sekadar perli kerana timbul perasaan cemburu, hanya mereka sahaja yang tahu apa yang dimaksudkan oleh mereka setiap kali mengeluarkan ungkapan sedemikian. Namun begitu, apa pendapat anda jika saya katakan bahawa ungkapan tersebut TIDAK BENAR. Ya, saya ulangi sekali lagi tidak benar dan tidak tepat sama sekali! NOKTAH.

Kenapa saya berani berkata sedemikian?
Baiklah biarlah saya jelaskan terlebih dahulu kepada anda semua. Kebanyakan daripada kita hanya tahu dan pandai bercakap tetapi tidak tahu menilai setiap nikmat dan anugerah yang telah Allah kurniakan kepada kita semua. Dan ada golongan di antara mereka ini lebih suka bermalas-malasan daripada berusaha ke arah kejayaan. Mereka boleh dikatakan anti kepada sesuatu perubahan yang membawa kepada kebaikan. Apabila melihat ada orang disekeliling mereka mulai berubah kearah kejayaan, mereka mulai gelisah dan tidak senang duduk. Mereka tidak mahu anda berubah. Mereka sayangkan anda dan mahukan anda kekal seperti mereka yang lebih senang mencari alasan daripada berusaha untuk berjaya. Dan kita tidak seharusnya menjauhkan diri daripada golongan ini, sebaliknya kita perlu memberi kekuatan dan kesedaran kepada mereka untuk merubah cara dan gaya pemikiran mereka tentang kejayaan dan kekayaan.

Kesilapan utama masyarakat kita hari ini ialah gagal mencari makna sebenar di sebalik kejayaan dan kekayaan. Memang benar secara fizikalnya harta kekayaan itu tidak dapat di bawa bersama apabila kita mati. Tetapi harus diingat harta kekayaan yang kita usahakan dan kita perolehi sepanjang hidup kita bukannya hak mutlak kita. Allah mengurniakannya sebagai satu amanah dan tanggungjawab kepada kita umat Islam untuk menguruskannya ke jalan Allah untuk diagih-agihkan seperti mengeluarkan zakat, sedekah, membantu anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan pertolongan dan bantuan. Sebab itu dalam Islam, mencari harta kekayaan di dunia tidak dihalang bahkan amat digalakkan supaya ianya dapat membantu ekonomi dan masyarakat Islam itu sendiri.

Maka dengan harta kekayaan yang kita ada itu, dapatlah kita “Wakaf” kan untuk membina masjid, rumah anak yatim dan apa sahaja yang boleh memberi manfaat kepada umat manusia, maka secara tidak langsung ianya seolah-olah memberi kita bekalan harta pahala yang berpanjangan walaupun hayat kita telah tiada namun ianya masih dinikmati oleh mereka yang masih hidup. Cukup besar ganjarannya di akhirat kelak. Jadi saya menyeru kepada anda semua untuk berfikiran kaya di dunia dan di akhirat, agar dapat memperbetulkan ungkapan ini sekiranya ianya ditujukan kepada anda, atau sesiapa sahaja.

“Berfikiran kaya itu bukan sahaja untuk hidup di dunia, juga untuk bekalan di akhirat.”

Salam kekayaan untuk semua,

Thinkerich