Isnin, November 26, 2007

ANDA MESTI….!

Salam ceria buat semua pembaca blog Thinkerich! Kali ini saya akan membicarakan satu pendekatan psikologi yang jarang sekali diberi perhatian oleh kebanyakan kita. Ianya sesuatu yang ‘simple’ tetapi berkuasa…

Saya ingin bertanya kepada anda semua, apa bezanya di antara dua perkataan berikut, Mesti dan Mahu? Baiklah biar saya jelaskan di sini agar anda lebih berhati-hati ketika menggunakan salah satu perkataan berikut. Ada perbezaan yang ketara di antara kedua ayat ini. “Saya mahu menjadi kaya!” dengan “Saya mesti menjadi kaya!” kedua-dua ayat tersebut membawa kepada objektif dan matlamat yang hampir sama. Namun begitu, ianya tidak akan memberi kesan dan tindakan yang sama. Mengapa saya berkata begitu?

Ini kerana boleh dikatakan semua orang mahu menjadi kaya tetapi mereka tidak pula mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mencapai matlamat berkenaan. Sebaliknya mereka lebih banyak mencipta alasan di sebalik keinginan mereka itu. Ini dapat dilihat sebaik sahaja mereka menemui rintangan dan kegagalan. Maka tidak hairanlah ada di antaranya terus berhenti dan berputus asa. Berbeza dengan mereka yang ‘mesti’ menjadi kaya kerana mereka meletakkan komitmen dan kesungguhan yang berterusan tidak kira apa pun yang terjadi. Selagi mereka belum berjaya mereka akan teruskan sehingga mereka mencapai impian dan matlamat yang telah ditetapkan.

Jadi untuk itu, saya sarankan anda mulai sekarang anda ‘MESTI’ menggunakan perkataan yang membawa maksud yang lebih berkesan bagi apa sahaja tindakan anda. Ini kerana mereka yang menjadi kaya ialah mereka yang mesti mencapai matlamat kekayaan mereka.

Salam kekayaan,

Thinkerich

-think rich to get rich-

Sabtu, November 24, 2007

KENAPA MEREKA TIDAK KAYA – PART 1

Salam bahagia,

Hari ini kita akan mulakan dengan siri pertama, kenapa mereka tidak kaya? Saya menyatakan di sini ‘mereka’ kerana saya tahu para pembaca blog thinkerich semuanya memiliki impian untuk menjadi kaya. Baiklah pada siri pertama ini, saya akan dedahkan kepada anda perkara pertama yang menyebabkan ramai di antara mereka di luar sana tidak kaya. Sebab utamanya ialah mereka tidak mempunyai matlamat yang jelas tentang impian kekayaan mereka.

Apabila ditanya kepada mereka, kenapa ingin menjadi kaya? mereka akan menjawab dengan jawapan yang ringkas dan padat, "memiliki harta dan wang yang banyak…"

Lihat jawapan yang diberi biasanya merujuk kepada sesuatu yang umum. Untuk anda menjadi kaya, perkara pertama yang perlu diberi perhatian di sini ialah matlamat yang khusus. Khusus di sini ialah sesuatu yang dapat dilihat dan dapat dirasai nilainya. Sebagai contoh jika anda inginkan kekayaan berupa wang yang banyak, anda perlu nyatakan jumlahnya secara khusus agar anda dapat mengatur langkah dan mengambil tindakan yang teratur ke arah mencapai tujuan tersebut. Katakan anda ingin mengumpul wang RM 1,000,000.00, ianya sesuatu yang khusus berbanding sekadar menyatakan jawapan seperti wang yang banyak. Jawapan yang cukup subjektif. Bagi sesetengah orang memiliki wang ratusan ribu ringgit sudah cukup banyak bagi mereka tetapi sesetengah orang pula memiliki wang yang berjuta masih belum mencukupi.

Jika anda bermatlamat sekadar ingin kaya dengan wang yang banyak, maka sudah pasti anda tidak akan dapat mencapainya. Sebabnya anda sendiri tidak tahu jumlahnya. Ini dapatlah di samakan dengan situasi seperti berikut, sekiranya anda menaiki teksi dan pemandu teksi bertanyakan kepada anda, “Encik/Cik nak ke mana?” dan anda menjawab ke rumah! Apakah anda fikir pemandu teksi berkenaan dapat membawa anda ke rumah dengan jawapan sebegitu? Sudah pasti tidak!

Jadi mulai saat ini, jika anda ingin menjadi kaya, anda perlu letakkan matlamat anda dengan jelas kerana ianya akan memandu anda ke arah destinasi impian anda. Ingat MATLAMAT yang JELAS dan KHUSUS….

Salam kekayaan,

Thinkerich

-think rich to get rich-

Khamis, November 22, 2007

BERHENTI, ATUR STRATEGI DAN KEMBALI BERTINDAK..

Salam keceriaan,

Adakah anda pernah menemui kegagalan dalam usaha mencapai matlamat hidup anda? Jika pernah, ianya sesuatu permulaan yang baik untuk anda.

Apa baik???


Ya, tuan/puan sekalian...

Saya ulangi sekali lagi ianya adalah satu permulaan yang baik! Kenapa saya berkata sedemikian? Masih ingatkah topik sebelum ini? Anda jangan berhenti tetapi tempuhi sekiranya menemui rintangan. Namun begitu, anda tidaklah pula digalakkan untuk bertindak ‘sembrono’ atau pakai redah aje. Kena berfikir. Berhenti seketika, atur strategi baru dan kembali bertindak. Ramai dikalangan kita yang berputus asa setelah berusaha berkali-kali dalam percubaan mereka kerana mulai bosan dengan tindakan dan strategi yang sama.

Manusia adalah insan beremosi dan cepat merasa bosan dengan perkara yang selalu mereka lakukan. Apatah lagi untuk sesuatu usaha yang tidak membuahkan sebarang hasil. Jika setiap hari asyik makan makanan yang sama pun membuatkan anda jemu apatah lagi sesuatu yang kita tidak suka…

Jadi sekiranya satu-satu strategi itu kurang berjaya, saya cadangkan anda duduk kembali mengatur strategi yang baru. Ianya perlu dilakukan berkali-kali, sehingga matlamat anda tercapai. Ingat apabila anda mencuba-cuba berkali-kali, namun masih belum berjaya, jangan sesekali berhenti…

Salam kekayaan

Thinkerich

-think rich to get rich-

Rabu, November 21, 2007

ANDA PERLU TEMPUHI, BUKAN BERHENTI !

Salam bahagia,

Apa khabar semua? Semoga anda semua berada dalam keadaan ceria!

Hari ini kita akan membicarakan berkenaan ‘Psikologi Kejayaan’ yang seharusnya dimiliki oleh anda semua sekiranya ingin mencapai apa sahaja matlamat dan cita-cita anda. Baik matlamat kewangan, kerjaya mahupun peribadi.

Dalam perjalanan kita menuju ke arah matlamat yang dicita-citakan, pasti kita akan menemui pelbagai rintangan dan halangan. Ya, saya ulangi, pasti! Jadi anda jangan ambil mudah perkara ini. Anda perlu bersedia menghadapinya dengan menempuhinya dan bukannya terus berhenti sebaik menemuinya.

Ramai yang mengambil mudah perkara ini dan buktinya statistik telah menunjukkan 90% usaha perniagaan gagal pada peringkat awal. Selain daripada matlamat dan kekuatan mental untuk berjaya, anda juga perlu bersedia menerima sebarang kemungkinan dan setiap kali anda dihalang oleh rintangan, jangan sekali-kali mengalah. Teruskan usaha anda dan cuba lagi dengan strategi yang berbeza pula. Jika anda terus berusaha dan tidak mengenal erti putus asa, anda pasti berjaya!

Lihat sahaja kepada kisah-kisah kejayaan yang tidak pernah mengenal erti putus asa seperti Abraham Lincoln, Presiden Amerika Syarikat ke 16, yang telah menempuhi lebih 12 kali kegagalan baik dalam perniagaan mahupun karier politiknya sebelum berjaya menjadi salah seorang presiden yang terunggul dalam sejarah Amerika.

Sir Edmund Hillary telah menemui kegagalan sebanyak 2 kali iaitu pada tahun 1951 dan 1952 sebelum beliau berjaya menjadi orang pertama yang sampai di kemuncak tertinggi di dunia, Gunung Everest setinggi 29,028 kaki.

Jadi, apakah anda fikir mereka semua ini berhenti apabila berhadapan dengan rintangan dan kegagalan? Sudah pasti tidak! Jika mereka berhenti dan terus berputus asa pasti mereka tidak akan mencapai semua kejayaan tersebut.

Mulai sekarang, jika anda berhadapan dengan rintangan dan kegagalan, jangan BERHENTI…tetapi TEMPUHInya dengan tabah.

Sebabnya hari ini kita hidup dalam dunia yang serba mungkin. Apa sahaja boleh terjadi. Jika kita tidak mempersiapkan diri untuk perkara ini, berkemungkinan besar kita akan cepat mengalah dan berputus asa. Justeru itu, setiap kali anda berhadapan dengan rintangan, anda perlu tempuhi dan bukan berhenti.

Thinkerich

-Think rich to get rich-

Selasa, November 20, 2007

KENAPA ANDA INGIN MENJADI KAYA?

Salam bahagia,

Kepada semua pembaca blog Thinkerich!

Baiklah, kali ini kita sambung persoalan kita berkenaan ‘Bagaimana dan Kenapa’. Sudahkah anda dapat jawapan ‘Kenapa anda ingin menjadi kaya?” Jika ditanya solan berikut, “Anda ingin menjadi kaya?” sudah pasti kebanyakan jawapan yang diterima adalah mereka mahu jadi kaya.

Mahu jadi kaya dengan benar-benar ingin menjadi kaya dalah sesuatu yang berbeza. Jawapan yang sentiasa diberikan oleh mereka yang mahu menjadi kaya biasanya terdiri daripada mereka yang tahu bagaimana untuk menjadi kaya. Sebaliknya mereka yang benar-benar ingin menjadi kaya tahu kenapa mereka perlu menjadi kaya.

Mereka tahu tujuan dan matlamat mereka untuk mencapai kejayaan dan kekayaan. Sebab utama ialah kerana persoalan KENAPA ditujukan kepada diri mereka. Secara tidak langsung ianya merangsang Minda Separa Sedar mereka untuk berusaha menjawab persoalan tersebut berdasarkan situasi mereka. Apakah mereka perlu atau tidak? Apakah mereka ingin terus hidup dalam kesempitan mahu pun kemiskinan sepanjang masa? atau mereka lebih rela berada di dalam ‘zon selesa’? Semuanya terserah kepada anda untuk menentukannya. Anda bagaimana? Apa pendapat anda?

Salam kekayaan,

Thinkerich

-Think rich to get rich-

Isnin, November 19, 2007

BAGAIMANA UNTUK MENJADI KAYA?

Salam,

Apa khabar semua para ‘Pemikir Kaya’?

Semoga anda ketika ini berada dalam keadaan tenang dan ceria selalu sebagaimana saya di sini. Hari ini saya terfikirkan sesuatu yang sangat menarik untuk dikongsikan bersama anda semua. Persoalan yang sering bermain di fikiran sesiapa sahaja yang bercita-cita ingin menjadi kaya. Bagaimana untuk menjadi kaya?

Persoalan ini sebenarnya terlalu banyak jawapan di sekeliling kita. Malangnya tidak semua yang dapat menemui jawapan dan kaedahnya. Ramai di antara kita hanya mampu melihat bagaimana kekayaan itu diraih tetapi tidak nampak bagaimana perjalanan untuk mencapai ke tahap berkenaan.

Ramai yang tahu bagaimana untuk menjadi kaya, tetapi kenapa mereka masih tidak mampu mencapainya? Sebelum saya menjawab persoalan tersebut, saya ingin memberikan anda satu contoh. Ramai yang tahu untuk sentiasa mempunyai wang ialah dengan menyediakan sedikit simpanan atau tabungan setiap masa. Namun begitu, mengapa tidak ramai dikalangan kita yang menjadikannya sebagai suatu tabiat di dalam hidup mereka. Akibatnya setiap masa mereka berdepan dengan masalah kekurangan wang.

Lihat kepada kebanjiran bahan bacaan berkaitan penyelesaian kewangan berdasarkan panduan dan kaedah ‘Bagaimana’ yang berada di pasaran kini. Kebanyakan daripadanya menjadi buku ‘Best-seller’. Namun hakikatnya tidak kesemua pembacanya berjaya mendapat manfaat daripada buku panduan berkenaan. Apakah buku berkenaan tidak bagus? Tidak, buku berkenaan sememangnya bagus dan memang memberikan panduan yang tepat, tetapi mengapa kebanyakan pembaca buku berkenaan masih berada ditakuk yang sama.

Puncanya terletak kepada persoalan berikut. Mereka sekadar ingin tahu ‘BAGAIMANA?’ tetapi sebaliknya mereka tidak tahu ‘KENAPA?’ mereka perlu menjadi kaya! Renung-renungkanlah. Kenapa anda ingin menjadi kaya?

Salam kekayaan!

Thinkerich

-Think rich to get rich-

Sabtu, November 17, 2007

APAKAH NILAI KEWANGAN DIRI ANDA?

Salam bahagia,

Apa khabar semua, para ‘Pemikir Kaya’?

Semoga fizikal dan fikiran kalian, berada dalam tahap kesihatan yang baik. Baiklah, untuk kali ini saya akan membicarakan tentang ‘nilai kewangan diri’. Untuk hidup di zaman sekarang anda tidak dapat hidup tanpa WANG. Anda perlukannya sebagaimana anda perlukan oksigen, air dan makanan untuk hidup. Betul bukan?

Dalam keadaan lain, anda memerlukannya untuk membeli dan mendapatkan air yang bersih dan makanan yang berkhasiat untuk menjamin kesihatan anda. Ini membuktikan ianya amat penting dalam hidup anda. Jadi, apakah nilai kewangan diri anda? Jika anda berkeinginan untuk mempunyai kedudukan kewangan yang baik, Nilai Kewangan Diri Anda ialah bergantung pada Aliran Tunai dan Nilai Bersih setiap ringgit dan sen yang anda ada dan bukannya berapa jumlah yang anda dapat atau perolehi! Ingat, mempunyai pendapatan lumayan tidak menjamin anda untuk menjadi kaya!

Jadi apa pendapat anda, tentang nilai kewangan diri anda?

Salam kekayaan,

Thinkerich

Khamis, November 15, 2007

KERETA - SIMBOL KEKAYAAN?

Salam bahagia,

Apa khabar semua, para pembaca blog thinkerich? Semoga anda semua berada dalam ketenangan kewangan yang dirahmati.

Baiklah, kali ini saya ingin berkongsi dengan anda tentang bagaimana cara kita berfikir apabila berhadapan dengan simbol kekayaan. Ramai yang beranggapan bahawa mereka yang berkereta mewah itu adalah mereka yang kaya. Betul bukan? Tetapi mengapa kita beranggapan sedemikian? Ini adalah disebabkan kita telah dipengaruhi dengan apa yang kita lihat, bukan pada apa yang kita tahu! Kita lihat mentol lampu menyala apabila kita menghidupkan suis lampu, namun kita tidak tahu bagaimana arus elektrik itu mengalir!

Baiklah, seringkali di kaca TV kita digambarkan dengan lakonan, bahawa mereka yang kaya raya itu berkereta mewah.Tetapi tahukah anda sebenarnya tidak semua yang berkereta mewah itu, orang kaya dan tidak semestinya orang kaya itu berkereta mewah! Mungkin kita lihat mereka berkereta mewah tetapi kita tidak tahu kedudukan kewangan sebenar mereka yang rata-rata terpaksa menanggung hutang yang tinggi. Ramai dikalangan kita yang begitu ‘obses’ untuk memiliki kereta mewah kononya untuk menjaga status agar kelihatan bergaya dan kaya. Malangnya mereka ini terpaksa mengikat perut semata-mata kerana ingin menjaga ego mereka.

Sebaliknya mereka yang berkereta sederhana, biasanya lebih kaya daripada mereka yang ‘kelihatan kaya.’ Lazimnya mereka mempunyai lebihan wang yang diuruskan untuk menjana kekayaan mereka seperti simpanan dan pelaburan. Malangnya mereka yang memilih untuk berkereta mewah atau besar ini sering kekurangan wang kerana setiap masa dari saat mula memilikinya hingga ke akhirnya, mereka terpaksa menanggung semua perkara-perkara besar, mengeluarkan jumlah wang yang besar setiap bulan untuk bayaran ansuran bulanan, petrol, penyelenggaraan, insuran dan cukai jalan malahan terpaksa berhutang besar untuk segala-galanya semata-mata untuk kereta mewah tersebut. Akhirnya mereka ini akan mewah dengan hutang dikeliling pinggang. Jadi sekiranya anda ingin menjadi kaya, jangan 'berlakon' kaya sebelum anda benar- benar mampu untuk memilikinya!

Salam Kekayaan,

Thinkerich

Selasa, November 13, 2007

HARTA KEKAYAAN, TIDAK BOLEH BAWA KE MATI?

“Buat apa susah-susah kumpul harta kekayaan di dunia ni,
bukannya boleh bawa ke kubur/mati!”



Tuan/puan, saudara/saudari sekalian,

Pernahkan anda mendengar ungkapan seperti ini? Saya percaya anda sudah biasa mendengarnya bukan? Setiap kali ada di antara kita memberikan pandangan atau pun nasihat kepada kita sekiranya melihat kita bersungguh-sungguh berusaha mencari harta kekayaan di dunia ini. Sama ada kata-kata itu nasihat atau pun sekadar perli kerana timbul perasaan cemburu, hanya mereka sahaja yang tahu apa yang dimaksudkan oleh mereka setiap kali mengeluarkan ungkapan sedemikian. Namun begitu, apa pendapat anda jika saya katakan bahawa ungkapan tersebut TIDAK BENAR. Ya, saya ulangi sekali lagi tidak benar dan tidak tepat sama sekali! NOKTAH.

Kenapa saya berani berkata sedemikian?
Baiklah biarlah saya jelaskan terlebih dahulu kepada anda semua. Kebanyakan daripada kita hanya tahu dan pandai bercakap tetapi tidak tahu menilai setiap nikmat dan anugerah yang telah Allah kurniakan kepada kita semua. Dan ada golongan di antara mereka ini lebih suka bermalas-malasan daripada berusaha ke arah kejayaan. Mereka boleh dikatakan anti kepada sesuatu perubahan yang membawa kepada kebaikan. Apabila melihat ada orang disekeliling mereka mulai berubah kearah kejayaan, mereka mulai gelisah dan tidak senang duduk. Mereka tidak mahu anda berubah. Mereka sayangkan anda dan mahukan anda kekal seperti mereka yang lebih senang mencari alasan daripada berusaha untuk berjaya. Dan kita tidak seharusnya menjauhkan diri daripada golongan ini, sebaliknya kita perlu memberi kekuatan dan kesedaran kepada mereka untuk merubah cara dan gaya pemikiran mereka tentang kejayaan dan kekayaan.

Kesilapan utama masyarakat kita hari ini ialah gagal mencari makna sebenar di sebalik kejayaan dan kekayaan. Memang benar secara fizikalnya harta kekayaan itu tidak dapat di bawa bersama apabila kita mati. Tetapi harus diingat harta kekayaan yang kita usahakan dan kita perolehi sepanjang hidup kita bukannya hak mutlak kita. Allah mengurniakannya sebagai satu amanah dan tanggungjawab kepada kita umat Islam untuk menguruskannya ke jalan Allah untuk diagih-agihkan seperti mengeluarkan zakat, sedekah, membantu anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan pertolongan dan bantuan. Sebab itu dalam Islam, mencari harta kekayaan di dunia tidak dihalang bahkan amat digalakkan supaya ianya dapat membantu ekonomi dan masyarakat Islam itu sendiri.

Maka dengan harta kekayaan yang kita ada itu, dapatlah kita “Wakaf” kan untuk membina masjid, rumah anak yatim dan apa sahaja yang boleh memberi manfaat kepada umat manusia, maka secara tidak langsung ianya seolah-olah memberi kita bekalan harta pahala yang berpanjangan walaupun hayat kita telah tiada namun ianya masih dinikmati oleh mereka yang masih hidup. Cukup besar ganjarannya di akhirat kelak. Jadi saya menyeru kepada anda semua untuk berfikiran kaya di dunia dan di akhirat, agar dapat memperbetulkan ungkapan ini sekiranya ianya ditujukan kepada anda, atau sesiapa sahaja.

“Berfikiran kaya itu bukan sahaja untuk hidup di dunia, juga untuk bekalan di akhirat.”

Salam kekayaan untuk semua,

Thinkerich

Sabtu, November 10, 2007

HAKIKAT KAYA

Salam kepada semua pemikir kaya,

Apabila kita sebutkan tentang subjek kekayaan, sudah pasti apa yang terlintas difikiran kita terlebih dahulu adalah wang yang banyak, kereta mewah, banglo yang berdiri megah, dan harta material yang dihimpunkan. Namun begitu, sesudah saya renungkan dan fikirkan dengan begitu mendalam, ternyata hakikat kaya itu bukan semata-mata kaya harta tetapi banyak kekayaan daripada aspek-aspek lain yang menjadi asasnya kepada kekayaan material.

Antara aspek kekayaan lain yang menghimpun dan membentuk satu kekayaan yang sempurna adalah kaya semangat,kaya ilmu, kaya wawasan, kaya idea, kaya pengalaman, kaya amal ibadat, dan kaya hati. Harta kekayaan adalah merupakan aspek yang terakhir daripada aspek yang dinyatakan. Tidak mungkin kita dapat menjadi kaya tanpa kaya semangat, kaya ilmu, kaya wawasan, kaya ibadat dan kaya hati.

Apakah mungkin seseorang yang miskin semangat, miskin ilmu, miskin idea mampu untuk mencapai kekayaan? Sudah pasti tidak! Jika anda masih ragu-ragu dengan apa yang saya nyatakan ini, cuba kita kaji dan lihat mereka yang berjaya mencapai kekayaan. Mereka sudah pasti mempunyai jiwa dan semangat yang kental terlebih dahulu untuk menghadapi apa jua rintangan dan halangan yang harus dan mesti ditempohi. Mereka sudah pasti kaya dengan pengalaman ilmu dan idea bagi membolehkan mereka mencapai tahap dan matlamat yang telah mereka tetapkan.

Perhatikan betul-betul mereka yang kaya dengan mereka yang miskin. Mereka sebelum menjadi kaya tiada beza dengan si miskin mahu pun yang hidup sederhana tetapi apa yang membezakan di antara mereka ialah mereka telah berjaya membentuk semangat, keazaman dan matlamat yang jitu. Ya! mereka mempunyai pakej kekayaan yang dibentuk daripada keperibadian masing-masing dan bukan semata-mata daripada harta material dan kekayaan wang ringgit.

Oleh itu, sebelum anda mahu mengumpul kekayaan material, ada baiknya anda lengkapkan dan utamakan dahulu aspek kekayaan peribadi kerana ianya lebih penting daripada yang lain. Jika kita lihat disekeliling kita ramai yang bercita-cita menjadi kaya tetapi akhirnya tidak kemana. Kenapa begitu? Ini tidak lain kerana mereka terlalu menumpukan pada kekayaan material. Walhal sepatutnya mereka patut menumpukan kepada aspek kekayaan peribadi yang telah saya nyatakan tadi. Kerana tanpanya anda mungkin tidak akan beroleh kekayaan material. Jangan lupa juga aspek kekayaan yang menjadi alat yang sungguh kuat dalam diri kita, PEMIKIRAN! Pemikiran yang kaya kalau dipandukan dengan kepastian matlamat dan tujuan, ketekunan dan keinginan yang bersungguh-sungguh, kekayaan pasti menyusul menemui anda.

Mulai sekarang, ubahlah tanggapan kita kepada kekayaan kerana hakikat sebenarnya bukan pada harta material semata-mata tetapi pada keperibadian, sikap dan pemikiran kita.

Selamat berfikiran kaya,

Thinkerich

P/S: Mulai 'post' ini, saya akan meng'Kaya'kan blog saya dengan pelbagai ilmu, maklumat, falsafah dan idea fikir melibatkan motivasi kekayaan, pembangunan diri, kewangan dan apa sahaja yang boleh memberikan manfaat kepada semua sejajar dengan 'tag line' baru blog ini " Bukan Sekadar Kekayaan Material....Tetapi ILMU & MAKLUMAT untuk dikongsi bersama". Semoga anda mendapat manfaat daripada blog ini.

Khamis, November 01, 2007

Jangan Fokus Pada Pendapatan Yang Besar

Salam sejahtera,

Ramai di kalangan kita yang mengharapkan dan terkejar-kejar pendapatan yang tinggi dan lumayan semata-mata untuk hidup mewah dan selesa. Jika anda mengikuti 'post' saya sebelum ini anda pasti tahu bahana berpendapatn lumayan jika anda tidak tahu menguruskannya dengan betul. Jadi, pendapatan yang tinggi atau pun lumayan belum pasti menjamin keutuhan kewangan anda dan jauh sekali untuk anda bergelar 'kaya'.

Dalam pengurusan kewangan peribadi pendapatan bukannya perkara utama yang boleh diambil kira. Memang tidak dinafikan ianya perkara pokok namun apa guna jika anda beroleh jumlah pendapatan yang banyak dan dalam masa yang sama menghabiskannya begitu sahaja. Ianya tidak memberi sebarang makna.

Jadi perkara utama yang perlu diberi perhatian dalam menguruskan kewangan anda adalah dengan merancang dan mengurus ALIRAN TUNAI anda setiap masa. Saya nyatakan di sini SETIAP MASA bukannya setiap bulan! Kenapa? Kerana ianya penting diberi perhatian SETIAP MASA bukan hanya sekali setiap bulan ketika menerima gaji.

Pernahkan anda melihat dan memerhatikan mereka yang berpendapatan kecil tetapi mempunyai keluarga yang besar (anak-anak yang ramai) tetapi masih boleh meneruskan kehidupan dengan baik? Dan pernahkah pula anda mendengar cerita seorang yang berjawatan tinggi dan berpendapatan lumayan tetapi setiap bulan mengalami masalah ketidakcukupan wang? Yang pertama adalah contoh mereka yang berjaya menguruskan aliran tunai kewangan dengan baik manakala yang kedua pula adalah mereka yang fokus pada pendapatan yang besar tetapi dalam masa yang sama menghabiskannya dengan jumlah yang jauh lebih BESAR!

Jadi, anda di mana ? Fikir-fikirkanlah,,......

Selamat Berfikiran Kaya,............

Thinkerich kembali lagi............