Sabtu, November 10, 2007

HAKIKAT KAYA

Salam kepada semua pemikir kaya,

Apabila kita sebutkan tentang subjek kekayaan, sudah pasti apa yang terlintas difikiran kita terlebih dahulu adalah wang yang banyak, kereta mewah, banglo yang berdiri megah, dan harta material yang dihimpunkan. Namun begitu, sesudah saya renungkan dan fikirkan dengan begitu mendalam, ternyata hakikat kaya itu bukan semata-mata kaya harta tetapi banyak kekayaan daripada aspek-aspek lain yang menjadi asasnya kepada kekayaan material.

Antara aspek kekayaan lain yang menghimpun dan membentuk satu kekayaan yang sempurna adalah kaya semangat,kaya ilmu, kaya wawasan, kaya idea, kaya pengalaman, kaya amal ibadat, dan kaya hati. Harta kekayaan adalah merupakan aspek yang terakhir daripada aspek yang dinyatakan. Tidak mungkin kita dapat menjadi kaya tanpa kaya semangat, kaya ilmu, kaya wawasan, kaya ibadat dan kaya hati.

Apakah mungkin seseorang yang miskin semangat, miskin ilmu, miskin idea mampu untuk mencapai kekayaan? Sudah pasti tidak! Jika anda masih ragu-ragu dengan apa yang saya nyatakan ini, cuba kita kaji dan lihat mereka yang berjaya mencapai kekayaan. Mereka sudah pasti mempunyai jiwa dan semangat yang kental terlebih dahulu untuk menghadapi apa jua rintangan dan halangan yang harus dan mesti ditempohi. Mereka sudah pasti kaya dengan pengalaman ilmu dan idea bagi membolehkan mereka mencapai tahap dan matlamat yang telah mereka tetapkan.

Perhatikan betul-betul mereka yang kaya dengan mereka yang miskin. Mereka sebelum menjadi kaya tiada beza dengan si miskin mahu pun yang hidup sederhana tetapi apa yang membezakan di antara mereka ialah mereka telah berjaya membentuk semangat, keazaman dan matlamat yang jitu. Ya! mereka mempunyai pakej kekayaan yang dibentuk daripada keperibadian masing-masing dan bukan semata-mata daripada harta material dan kekayaan wang ringgit.

Oleh itu, sebelum anda mahu mengumpul kekayaan material, ada baiknya anda lengkapkan dan utamakan dahulu aspek kekayaan peribadi kerana ianya lebih penting daripada yang lain. Jika kita lihat disekeliling kita ramai yang bercita-cita menjadi kaya tetapi akhirnya tidak kemana. Kenapa begitu? Ini tidak lain kerana mereka terlalu menumpukan pada kekayaan material. Walhal sepatutnya mereka patut menumpukan kepada aspek kekayaan peribadi yang telah saya nyatakan tadi. Kerana tanpanya anda mungkin tidak akan beroleh kekayaan material. Jangan lupa juga aspek kekayaan yang menjadi alat yang sungguh kuat dalam diri kita, PEMIKIRAN! Pemikiran yang kaya kalau dipandukan dengan kepastian matlamat dan tujuan, ketekunan dan keinginan yang bersungguh-sungguh, kekayaan pasti menyusul menemui anda.

Mulai sekarang, ubahlah tanggapan kita kepada kekayaan kerana hakikat sebenarnya bukan pada harta material semata-mata tetapi pada keperibadian, sikap dan pemikiran kita.

Selamat berfikiran kaya,

Thinkerich

P/S: Mulai 'post' ini, saya akan meng'Kaya'kan blog saya dengan pelbagai ilmu, maklumat, falsafah dan idea fikir melibatkan motivasi kekayaan, pembangunan diri, kewangan dan apa sahaja yang boleh memberikan manfaat kepada semua sejajar dengan 'tag line' baru blog ini " Bukan Sekadar Kekayaan Material....Tetapi ILMU & MAKLUMAT untuk dikongsi bersama". Semoga anda mendapat manfaat daripada blog ini.