Khamis, Mei 01, 2008

THINKERICH KINI PEMIKIR KAYA! MELAYU BOLEH

Salam,

Sukacita dimaklumkan bahawa Blog Motivasi Kekayaan telah pun berpindah ke blog baru. Daripada Thinkerich kini Pemikir Kaya (Melayu Boleh) Untuk terus mendapatkan maklumat dan informasi berkaitan kekayaan dan kewangan peribadi sila lawati www.PemikirKaya.com

Salam Kekayaan,

THINKERICH

Isnin, April 28, 2008

MATLAMAT KEKAYAAN...SUATU DESTINASI ATAU PERJALANAN?

Salam Pembaca Blog,

Sudah sekian lama saya tidak dapat mengemaskini blog ini lantaran masalah yang saya hadapi pada NoteBook saya(meragam teruk) dan tidak lagi boleh berfungsi dengan sempurna.

Alhamdulillah kini saya dah dapat selesaikan masalah tersebut dengan mendapatkan pengganti baru yang lebih canggih dan terkini. Maka dapatlah saya meneruskan Blog Motivasi Kekayaan ini semula.

Setelah sekian lama menyepi dalam arena 'Blog' ini, saya amati dan renungkan semula perancangan dan perjalanan yang saya tempuhi berdasarkan matlamat tahun baru 2008, dan mendapati masih banyak pencapaian yang disasarkan masih jauh menyimpang daripada perancangan awal. Kini tinggal beberapa hari lagi maka kita bakal menempuhi bulan Mei 2008.
"Kita hanya merancang tetapi hanya Allah yang tentukan"....

Di sebalik perkara yang berlaku tersebut saya mendapati terdapat pelajaran yang boleh sama-sama kita renungkan bersama. Sebenarnya jika kita telah menetapkan perancangan dan matlamat namun masih belum tercapai ianya tidak lain adalah suatu ujian yang sedang diberikan kepada kita agar dapat menilai sejauh mana kesabaran dan semangat juang kita dalam mengejar sesuatu matlamat yang telah ditetapkan.

Begitu jualah dalam mencari kekayaan. Anda mungkin telah menetapkan matlamat pada tempoh masa dengan jumlah yang tertentu tetapi ianya tidaklah pula dapat dicapai sepertimana yang telah anda rancangkan. Rancangan anda adalah ibarat peta atau panduan yang memandu anda ke arah destinasi anda. Namun begitu anda mungkin dapat sampai ke destinasi anda dengan lebih cepat atau mungkin jauh lebih lambat atau mungkin langsung tidak sampai!

Ianya semua bergantung kepada anda untuk memutuskannya sama ada untuk cepat, lambat atau sekadar berhenti di tengah jalan. Jika anda perhatikan mereka yang berjaya di dalam dunia kewangan dalam mengumpul kekayaan, adakah mereka menjadikan matlamat kewangan(kekayaan) mereka sebagai DESTINASI? atau PERJALANAN?

Apa pendapat Anda?

Salam Kekayaan,

THINKERICH

Sabtu, Mac 15, 2008

PETUA KAYAKAN HATI, BERSIHKANLAH HATI ANDA

Salam pembaca Blog...

Apa khabar anda semua? Semoga sihat sejahtera hendaknya.....

Pejam..Celik..Pejam..Celik..dah hampir sebulan saya tidak mengemaskini blog ini. Saya mohon maaf sekiranya ada di antara pengunjung setia Blog ini ternanti-nanti pengisian topik terbaru. Untuk pengetahuan anda semua, saya sebenarnya telah diserang demam yang agak teruk dan hampir-hampir melumpuhkan semua kekuatan tubuh badan saya hampir sebulan lamanya.

Disamping itu ianya turut melumpuhkan semangat dan motivasi hidup saya walaupun minda saya masih kuat dengan pelbagai idea-idea kekayaan yang terbaru berlegar-legar dalam fikiran saya. Malangnya saya tidak berkesempatan dan tidak berdaya untuk 'update' blog ini. Tambahan lagi, saya punya PC turut meragam dan menambahkan lagi kekusutan fikiran dan semangat saya. Hingga ke detik ini saya masih belum sembuh sepenuhnya...

Baiklah kita tinggalkan kisah kesihatan saya itu dahulu, kerana saya ingin berkongsi dengan anda satu PETUA yang telah dapat membantu membangkitkan saya daripada penderitaan demam yang berpanjangan tersebut. Petua ini telah saya petik daripada saranan dan olahan Y.Bhg. Dato' Dr. Fadzilah Kamsah yang saya rasa amat elok untuk kita semua amalkan dan hayati bersama agar kita dapat mengkayakan hati dan seterusnya membersihkan hati kita..

1. Dirikan solat dan banyakkan berdoa- Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdoa turut katakan " Ya, Allah jadikan hatiku bersih"

2. Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100 X sebelum tidur - Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Disamping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.

3. Solat taubat - Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.

4. Membaca Al-Quran - Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa, penyembuh, penenang, terapi. Sekurang- kurangnya bacalah "Qulhu-allah" sebanyak 3X.

5. Berma'af-ma' afan sesama kawan setiap hari - Semasa meminta maaf perlu sebutkan.

6. Bisikan kepada diri perkara yang positif - Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri. katakan lah "Aku sebenarnya.. ....(perkara yang elok-elok belaka)

7. Program minda/cuci minda - Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati "Ya, Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif". Menurut kajian saikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya

8. Berpuasa - Sekiranya dalam berpuasa terhindar dari melakukan perkara-perkara kejahatan.

9. Cuba ingat tentang mati (Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan, tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila- bila masa).

10. Kekalkan wuduk.

11. Bersedekah.

12. Belanja orang makan.

13. Jaga makanan - jangan makan makanan yang subhat.

14. Berkawan dengan alim/ulama.

15. Berkawan dengan orang yang berada dalam kesusahan (untuk kita menginsafi) .

16. Pesan pada orang, jadi baik.

17. Menjaga pacaindera (mata, telinga, mulut...dsb) , jangan dengar orang mengumpat.


Selamat beramal.....

Salam Kekayaan,

Thinkerich


Rabu, Februari 13, 2008

IBARAT MENUNGGU BULAN JATUH KE RIBA...

Salam Pembaca Blog Sekalian,

Ketika saya sedang asyik melayari internet, saya terserempak dengan satu forum yang agak menarik. Forum tersebut sememangnya hangat dan penuh dengan Harapan, fikiran positif dan Doa...

Kasihan...Kasihan.. Betul-betul kasihan,

Mereka semua tertipu! Ya, benar-benar tertipu! Namun begitu, mereka masih percaya dan cuba menegakkan benang yang basah. Inilah kisah mangsa-mangsa penipuan Skim-skim Pelaburan yang ntahapahapantah..yang sebenarnya dah berkubur pada pertengahan tahun 2007 lagi. Namun mereka ini masih diberi harapan oleh leader-leader mereka yang 2 x 5 juga dengan mereka yang tak tahu apa-apa. Cuma untuk menyedapkan hati para pelabur yang amat dermawan dan ingin cepat kaya itu maka berbagai harapan demi harapan ditaburkan. Dari satu jangkamasa ke satu masa. Namun wang keuntungan pelaburan tidak juga kunjung tiba....namun mereka masih setia ibarat menunggu bulan jatuh ke riba....

Ntahlah saya pun hairan dengan sesetengah masyarakat kita pada hari ini yang suka mengambil kesempatan dengan tergamak menipu menjayakan pelbagai bentuk pelaburan palsu dengan mengaitkannya pula dengan pemimpin politik, ekonomi negara dan serantau. Itulah bahananya jika kita tiada ilmu pengetahuan tentang pelaburan. Terima bulat-bulat apa yang diperkatakan tanpa usul periksa. Yang mereka tahu melabur sejumlah duit, goyang kaki dan dapatkan keuntungan. Semudah itu untuk menjadi kaya...itulah yang mereka fikirkan.

Yang lucunya,,,boleh pula mereka percaya akan cerita-cerita mengarut bentuk pelaburan yang mengaitkannya dengan dana luar yang dibekukan di luar negara. Yang amat saya hairankan dan bertambah Hairan Bin Ajaib pula apakah kaitannya, dengan wang pelaburan kita dengan wang haram yang dibekukan di negara luar tersebut??? Bukankah nampak sangat pembohongan NYATA semata-mata untuk merompak wang para pelabur(pelebur) mereka sahaja.


Saya sebenarnya juga amat bersimpati dengan mangsa-mangsa pelaburan ini. Ada di antara mereka sanggup berhutang ribuan ringgit malahan ada puluhan ribu ringgit semata-mata ingin menyertai pelaburan MISTIK ini. Ya, Pelaburan Mistik. Mereka percaya akan ada keuntungan tetapi wang pelaburan mereka hilang begitu sahaja dan keuntungannya hanya samar-samar sahaja. Nasihat saya kepada mangsa yang terlibat, usahlah buang masa dengan menanti dan terus berharap dengan sesuatu yang MUSTAHIL. Ada baiknya tuan-puan berdoa agar diberi petunjuk dan jalan agar dimurahkan rezeki bagi mendapatkan keberkatan dunia dan akhirat. Mula berfikir kehadapan. Timba ilmu pengetahuan yang sebenar tentang kewangan dan pelaburan. Anggaplah apa yang terjadi sebagai satu yuran pembelajaran anda dalam kelas pelaburan anda yang pertama. Bertindaklah dan fikirkan sesuatu yang realiti bukan fantasi dan penuh mistik!

Bagi mereka yang ingin jadi kaya, prinsip ini harus dipegang dan disemat di dalam minda anda. Sebenarnya tiada siapa pun yang sanggup untuk berkongsi keuntungan yang tinggi dengan anda sekiranya anda hanya melaburkan wang anda tanpa melibatkan sebarang usaha. Jika anda masih belum faham, biarkan saya bertanyakan kepada anda satu soalan? Sanggupkah anda berkongsi 50% wang hasil penat lelah dan kerja keras anda dengan orang lain yang tidak berbuat apa-apa? Lihat sendiri pihak Bank, mereka menggunakan wang para penyimpan untuk digunakan bagi menjana hasil pendapatan mereka. Namun berapa peratuskah keuntungan yang dikongsi kepada para pelanggan mereka? Kurang 2%...

Oleh itu, saudara - saudari yang saya kasihi sekalian, ingatlah bahawa berfikiran untuk kaya itu betul tetapi apabila berfikiran untuk cepat kaya itu, pasti pelbagai masalah akan timbul. Jadi renung-renungkanlah...

Salam kekayaan,

Thinkerich

Selasa, Februari 05, 2008

SESSI BERFIKIR.....

Salam kepada semua pembaca blog Pemikir Kaya!


"Pernahkah anda memerhati bagaimana seseorang usahawan yang berjaya menjalankan perniagaan mereka?"

"Pernahkah pula anda melihat usahawan yang kurang berjaya melakukan usahaniaga mereka?"


Mengapa saya bertanya kedua-dua persoalan tersebut kepada anda? Kerana saya inginkan minda anda sentiasa sibuk memikirkan situasi dipersekitaran anda. Ini kerana ia akan lebih membantu minda anda agar lebih peka dan sentiasa cergas, cerdas dan bermotivasi ke arah kekayaan dan kejayaan hidup.

Baiklah, saya tinggalkan anda semua dengan persoalan ini untuk sama-sama kita fikirkan. Anda semua amatlah digalakkan untuk memberi pendapat dan ulasan bergantung kepada apa yang minda anda cernakan daripada permerhatian dan penelitian anda sendiri.

Harus diingat, di sini tiada jawapan yang betul dan tiada jawapan yang salah kerana persoalannya adalah berkisar kepada pendapat anda dan bukan pendapat orang lain.

Jadi, apa pendapat atau komen anda?

Thinkerich


Ahad, Februari 03, 2008

MEMBERI SEBELUM MENERIMA

Salam pembaca blog,

Apa khabar? Semoga sihat sejahtera hendaknya.

Pernahkah anda memberi sesuatu dengan ikhlas? Ya, ikhlas...memberi sesuatu dengan rela hati tanpa mengharapkan sesuatu balasan. Saya pasti tentu ada bukan? Tetapi kadangkala kebanyakan daripada kita apabila memberi dengan ikhlas, hanya dimulut dan bukan di hati.

Maka kesannya apa yang anda beri itu tidak memberi hasil dan pulangan yang berganda. Sebagai contoh anda tiba-tiba didatangi oleh seorang peminta sedekah ketika anda sedang asyik menikmati juadah makan tengahari, bersama kawan-kawan atau teman wanita anda. Demi untuk menjaga maruah dan air muka anda agar tidak kelihatan seperti seorang yang bakhil dan kedekut, lalu anda pun menghulurkan sekeping wang kertas RM5.00 (yang pada asalnya untuk belanja rokok anda!) Lalu peminta sedekah tersebut berlalu dan mengucapkan terima kasih kepada anda. Tetapi dalam masa yang sama anda masih berkira-kira di dalam kepala anda tentang jumlah RM5.00 yang telah anda keluarkan. "Menyesal sungguh rasanya", bentak hati kecil anda.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Jika dilihat pada contoh di atas anda telah menjalankan suatu kebaikan atau kebajikan, namun begitu kerana tiada sifat ikhlas dalam diri anda maka perbuatan itu tidak mendatangkan pulangan yang membanggakan untuk anda sekadar kebaikan kepada penerima tersebut. Jika anda pernah melalui perkara sedemikian dan terdetik perasaan sedemikian anda sepatutnya cepat-cepat mengubahnya dengan menganggap bahawa itu adalah rezeki mereka yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t untuknya. Maka anda harus ingat bahawa wang RM5.00 itu hanyalah sekadar anda pegang untuk sementara sahaja atau dengan kata lain sebagai 'pemegang amanah'.

Jika anda dapat berpegang kepada prinsip ini, aliran wang atau rezeki anda akan mengalir dengan lancar dan teratur. Anda tentu pernah melihat mereka yang mempunyai pendapatan wang yang banyak dan dalam masa yang sama memiliki simpanan yang banyak kelihatan sentiasa tidak cukup atau sering kesempitan wang. Rezeki mereka kelihatan tersekat-sekat dek kerana terlalu berkira untuk diinfak ke jalan kebajikan.

Suatu ketika dahulu sewaktu saya masih kecil, lebih kurang 20 tahun lalu, saya sering melihat seorang lelaki yang mengeluarkan RM50.00 untuk derma masjid setiap kali solat Jumaat.(RM50.00 pada 20 tahun yang lalu satu jumlah yang besar!) Saya sering tertanya-tanya, kenapa beliau sanggup mengeluarkan sejumlah wang yang besar hanya untuk derma tabung masjid? Apa yang beliau dapat? Sedangkan hidupnya ketika itu tidaklah mewah ataupun kaya. Itulah persoalan seorang kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa tentang wang dan konsep rezeki ketika itu.

Baru-baru ini ketika saya berkesempatan pulang ke kampung, saya sempat bertemu dan bersua muka dengan individu tersebut yang saya panggil sebagai Pakcik Saufi. Saya dapat tahu beliau kini telah memiliki beberapa cawangan kedai emas dan beliau kini cukup dikenali sebagai seorang pemaju perumahan yang berjaya dan dermawan. (Pakcik Saufi dahulunya hanyalah seorang pemuda biasa yang bekerja sebagai seorang tukang emas dengan teman arwah bapanya). Beliau juga kini sentiasa membantu keluarga miskin di sekitar kampung. Berkat daripada hasil kerja keras dan tabiatnya yang suka menyumbang itu kini beliau hidup dalam penuh kebahagian. Suatu sikap yang patut dipuji dan diamalkan oleh setiap insan di muka bumi ini.

Suatu lagi kisah daripada seorang teman saya, Sebelum ini beliau pernah menceritakan pengalaman dan nikmat hasil daripada sikap dan tabiat memberi sebelum menerima ini. Sebelum mengamalkan konsep ini, beliau sering mengadu menghadapi masalah kewangan- tidak cukup wang walaupun setiap bulan beliau telah mengagih-agihkan perbelanjaannya. Namun begitu, baru-baru ini beliau datang memberitahu saya bahawa beliau merasa cukup tenang dan lapang sekali. Katanya, dahulu beliau begitu berkira untuk memperuntukan sebahagian wang pendapatannya untuk menunaikan zakat pendapatan kerana beranggapan sekiranya beliau membayar zakat setiap bulan, wang perbelanjaannya tidak cukup.

Namun, begitu pada suatu hari beliau telah mendapat petunjuk untuk mula mengeluakan zakat pendapatan kerana beliau percaya bahawa rezeki itu datangnya daripada Allah s.w.t, dan jika zakat itu sememangnya adalah sesuatu yang telah dituntut di dalam rukun Islam, kenapa harus dia meninggalkannya amalan tersebut. Dan Allah s.w.t sendiri telah berjanji bahawa barangsiapa yang mengeluarkan hartanya ke jalan Allah, maka tidak akan dikurang sedikit pun malahan Allah akan menambahkannya. Berkat tawakal dan kesungguhannya mengeluarkan zakat setiap bulan, beliau mengaku dan kadangkala merasa agak hairan kerana beliau kini tidak lagi mengalami masalah ketidakcukupan wang. Jika diteliti dan dikira secara logiknya memang tidak akan cukup! tetapi dari mana beliau memperolehi rezeki selebihnya? Saya percaya anda sudah pasti tahu akan jawapannya bukan? ALLAH s.w.t...

Oleh itu, tuan-tuan dan puan-puan yang saya kasihi sekalian. Jika kita dapat menyemai tabiat memberi sebelum menerima dan sentiasa bersyukur ke atas apa yang kita terima, pasti kita akan mendapat kebaikannya kelak. Tidak kiralah seberapa kecil pendapatan anda, jika anda mampu keluarkannya, maka laksanakanlah. Kadangkala seseorang yang hanya memperolehi pendapatan kecil yang sentiasa bersyukur dan mengeluarkan sedekah lebih kaya daripada mereka yang berpendapatan tinggi tetapi berkira-kira untuk mengeluarkan sedekah.

Wallahualam..

Salam kekayaan,

Thinkerich

Selasa, Januari 15, 2008

MASIH BELUM TERLEWAT UNTUK MENJADI KAYA

Salam pembaca blog,

Semalam saya ada bersembang dengan beberapa teman saya mengenai kisah kejayaan dan kekayaan Tokoh Maal Hijrah 1429. Siapa lagi jika bukan Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary, Billionaire Melayu Terkaya di Malaysia.

Kami antara satu sama lain mengkagumi kejayaan dan kekayaan beliau yang begitu menarik. Hanya daripada seorang yang tidak mempunyai apa-apa dengan bermula daripada bawah. namun kini menjadi seorang Billionaire yang begitu pemurah dan 'low profile.'

Namun begitu, dalam hangat berbual topik berkenaan, salah seorang teman saya telah memberi pendapat beliau yang saya rasakan perlu diperbetulkan. Dan saya percaya apa yang diluahkannya adalah di antara sebilangan besar pendapat masyarakat pada hari ini.

"Syed Mokhtar AlBukhary telah lama menjalankan bisnes, sejak dari dulu lagi! Sebab itulah dia boleh berjaya ke tahap sekarang ni!"

"Tapi saya ni lewat dah, umur pun masuk 31 tahun. Dah tak sempat nak jadi kaya macam dia!"


Itulah kata-kata dan pendapat yang diberikan oleh teman saya tersebut. Oleh kerana saya ni seorang yang baik hati :P, dan ingin menjaga perasaan teman saya tersebut, saya hanya mendiamkan diri. Bersetuju pun tidak, nak kata tak setuju adalah juge ;p!

Namun sebagai seorang pendorong Motivasi dalam subjek Kekayaan :) ini, maka adalah lebih baik saya nyatakan dorongan saya ini melalui blog ini. Sekurang-kurangnya bukan sahaja teman-teman saya sahaja yang dapat faedahnya malahan anda semua para pengunjung blog ini.

Sebab itulah saya rasakan segala masalah atau perkara yang ditimbulkan dipersekitaran saya akan saya nyatakan melalui blog ini. Semoga lebih ramai yang mendapat manfaatnya.

Baiklah tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Untuk menjadi seorang yang kaya tidaklah terletak kepada usia dan umur anda. Ianya hanyalah angka fisiologi. Adakah mereka yang bermula pada peringkat awal sahaja yang boleh mencapai kekayaan dan kejayaan hidup mereka?

Cuba lihat bagaimana Kolonel Sanders, pengasas resepi ayam goreng Kentucky Fried Chicken (KFC) bermula dan mencipta nama dengan resipi ayam gorengnya. Tahukah anda bahawa Kolonel Sanders hanya bermula selepas bersara pada usia 65 tahun.

Apakah anda fikir beliau menjadikan usianya itu sebagai halangan untuk menikmati kejayaannya dan kekayaan dalam hidupnya. Sudah pasti tidak! Dia tidak langsung terfikir untuk mencipta ALASAN hanya kerana ANGKA yang ada pada usia beliau!

Sebaliknya dia terus berusaha dan berusaha sehingga resipinya kini boleh dinikmati di serata tempat diseluruh DUNIA!

Jadi, Anda Bagaimana? Masih menjadikan usia dan keadaan anda ketika ini sebagai satu alasan untuk mencapai kekayaan? Saya percaya ramai yang akan berbuat begitu, sebabnya tidak ramai dikalangan kita yang benar-benar ingin menjadi kaya. Mereka hanya mahu di mulut tetapi tidak dibuktikan melalui minda dan tindakan yang betul....

Oleh sebab itu, saya sarankan kepada anda semua mulai sekarang, jangan sekali-kali membuat keputusan dengan MEMBUNUH motivasi dan impian anda dengan mencipta segala macam alasan. Sebabnya kita hidup dalam dunia yang serba mungkin, dan tiada yang mustahil dalam hidup ini jika anda percaya, yakin dan lakukan dengan strategi yang betul.

BANGKITLAH dari segala macam alasan...Usia bukan penghalang tetapi cara berfikirlah yang menentukan kedudukan anda dimana...fikir-fikirkanlah......

Salam kekayaan,


Thinkerich




Isnin, Januari 14, 2008

ADAKAH ANDA BENAR-BENAR INGIN KAYA?

Salam pembaca blog Motivasi Kekayaan!

Kali ini seperti biasa kita mulakan artikel ini dengan satu pertanyaan. Anda mungkin bertanya kepada saya kenapa artikel di Blog ini asyik dimulakan dengan pertanyaan?

Baiklah, biar saya jelaskan kepada anda semua wahai pembaca blog yang dikasihi sekalian....

Jika kita selalu mengajukan pertanyaan kepada diri kita , secara tidak langsung ianya akan mengaktifkan minda kita untuk cuba mencari jawapan dengan berfikir!

Dengan berfikir ianya akan menajamkan minda anda dan meningkatkan aktiviti otak. Jadi bila otak dan minda anda aktif berfikir maka minda anda akan bertambah cekap dan sihat!

O.k...bagaimana anda sudah faham apa maksud saya? Jika belum faham itu bermakna minda dan otak anda dalam keadaan yang kurang baik atau dalam kata lain dah nak berkarat :P

...Opps maafkan saya...Saya tidak berniat nak melukakan hati anda, tetapi jika ianya terluka ianya perbuatan anda sendiri kerana anda yang membuatkan anda merasa terluka bukan saya!

Baiklah kita teruskan pada persoalan kali ini. Saya percaya dan yakin bahawa jika saya mengajukan pertanyaan "Siapa di antara anda ingin menjadi Kaya?" sudah pasti ramai di kalangan anda akan menjawab "Ya, Saya!"

Tetapi kenyataannya kebanyakan kita tidak sanggup untuk menjadi kaya. Kenapa? Ini kerana kita sendiri tidak faham dengan kemahuan dan matlamat sebenar kekayaan itu sebenarnya.

Sebagai contoh, anda mahu menjadi kaya tetapi anda tidak pula menguruskan kewangan anda dengan betul sebagaimana orang kaya. Tahukah anda bahawa mereka yang menjadi kaya kerana mereka tahu mengawal dan menguruskan kewangan mereka.

Jika anda sendiri tidak mampu untuk menyimpan sebahagian daripada pendapatan anda, bagaimana anda boleh menjadi kaya? Ini kerana menyimpan adalah asas kekayaan yang paling utama. Katakan anda telah mula menyimpan RM500.00 setiap bulan setahun yang lalu, berapakah wang anda yang terkumpul? Bukankah anda telah mempunyai RM6,000.00!

Ini bermakna anda telah menjadi lebih kaya sekarang berbanding setahun yang lalu. Namun begitu kebanyakan kita, apabila tiba bab simpan menyimpan ini, maka berbagai alasan diberikan. Jika anda faham peribahasa melayu, "Kalau tak pecahkan Ruyung , bagaimana hendak mendapat sagunya"- maksudnya di sini anda kena korbankan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu yang lebih anda perlukan...

Jika anda benar-benar ingin kaya maka anda kena berikhtiar untuk mendapatkannya dengan bukan sedikit pengorbanan tetapi dengan jumlah yang tinggi. Lebih banyak anda berkorban untuk kekayaan anda, maka lebih besar ruang kekayaan anda.

Jadi apa pendapat anda? sudahkan anda mula MENYIMPAN untuk kekayaan anda? Saya sudah...tetapi bukan sekadar di dalam Bank tetapi yang paling penting SIMPAN di dalam MINDA anda!

Salam kekayaan,

Thinkerich


Ahad, Januari 13, 2008

TOKOH MAAL HIJRAH KEBANGSAAN 1429 H


SalamMaal Hijrah,

Apa khabar semua? Saya rasa masih belum terlewat untuk saya mengucapkan Salam Maal Hijrah kepada semua pembaca blog Motivasi Kekayaan, Pembangunan Minda.

Baiklah, pada post kali ini saya ingin 'review' wawancara bersama Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1429 H. Siapa lagi kalau bukan pengasas Yayasan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

Banyak perkara yang boleh dijadikan panduan dan pengerak motivasi kepada semua pengunjung blog motivasi kekayaan ini.

Untuk makluman, Tan Sri Syed Mokhtar merupakan ahli perniagaan bumiputera terkaya di negara ini dengan harta bernilai RM4.16 bilion sebagaimana dinyatakan dalam Senarai Bilionair Dunia Forbes 2007.

Ikuti petikan wawancara beliau dengan wartawan Mingguan Malaysia.

Mingguan: Adakah orang Melayu begitu ketinggalan berbanding kaum lain jika diimbas kembali kemajuan yang dicapai oleh kaum bumiputera sejak 50 tahun lalu?

SYED MOKHTAR : Dalam hal ini, kerajaan banyak membantu. Kita bernasib baik dan bersyukur kerana mampu memiliki saham amanah dengan adanya agensi kerajaan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Ia bukan sahaja membantu tetapi turut berjaya sebagai antara institusi saham amanah termaju. Itu dalam aspek pemilikan saham sahaja tetapi kita juga perlu mencari usahawan Melayu yang mahu mengkhusus dalam bidang peruncitan, pemborongan dan pengedaran. Saya sendiri berusaha keras sejak tahun 60-an, dari Alor Star, Kedah menerjah ke seluruh pelosok negara bagi mencari peluang perniagaan yang boleh diceburi.

Generasi terdahulu pada awal kemerdekaan mungkin agak ketinggalan dalam hal ini tetapi itu bukan alasan untuk kita tidak mahu ‘mengejar’ sebaliknya berusaha keras bagi menguasai bidang- bidang itu. Keadaan ini sememangnya mewujudkan jurang dalam ekonomi Melayu dibandingkan dengan bangsa lain terutama Cina dan ia diburukkan lagi dengan sikap beberapa usahawan Melayu pada tahun 80-an dan 90-an yang menjual kepentingan demi poket sendiri, melanggar Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang memberi kekayaan kepada mereka. Golongan usahawan ini saya gelarkan sebagai individualis Melayu. Golongan ini mempunyai keupayaan tetapi tidak membantu masyarakat yang memerlukan bantuan. Saya fikir kita kena bagi balik kepada masyarakat. Dan apa yang dibuat perlulah sederhana kerana ini selaras dengan tuntutan Islam.

Apakah yang dilakukan oleh golongan individualis Melayu ini sehingga melebarkan jurang ekonomi Melayu dengan kaum lain?

SYED MOKHTAR: Golongan yang mementingkan diri sendiri ini bertindak menjual kepentingan yang dimiliki. Ini banyak berlaku dalam era 80-an dan 90-an. Semua ini berlaku sebab mereka merasakan kepentingan dan kedudukan kewangan mereka tergugat ekoran krisis ekonomi yang melanda negara.

Mereka mengambil tunai hasil penjualan saham syarikat yang dibangunkan di bawah DEB, cepat kecewa dengan perniagaan di tanah air sendiri dan memindahkan dana ke luar negara. Ini sekali gus mengurangkan bilangan usahawan Melayu yang ada di negara ini. Bukannya tidak boleh melabur di luar negara tetapi kenalah membawa balik ke negara ini.

Pandangan saya, jika golongan ini masih menjalankan perniagaan di sini dan mengalami masalah, tentunya ramai yang boleh membantu dan bukannya mengambil tindakan melabur di luar negara kerana mementingkan diri sendiri.

Syukur kepada Allah walaupun turut menerima kesan daripada krisis ekonomi pada kedua-dua era, usahawan Melayu seperti pengasas Kumpulan Sapura, Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir, Pengerusi AMMB, Tan Sri Azman Hashim, Pengerusi MKland Holdings Bhd., Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar serta beberapa yang lain termasuk saya sendiri masih kekal di negara ini, tidak mengikut jejak golongan individualis yang menjual kepentingan dan melabur di luar. Kami terus kekal di sini kerana kami ada pendirian.

Mungkinkah keadaan ini berlaku kerana makna kejayaan kepada golongan individualis ini berbeza dengan makna kejayaan kepada Tan Sri?

SYED MOKHTAR: Bagi saya, makna kejayaan memang berbeza kerana mereka tidak mahu menginstitusikan perniagaan di negara ini. Mereka dilahirkan oleh DEB dan dapat peluang perniagaan tetapi kemudiannya menjual untuk kepentingan diri sendiri. Jadi apa guna kerajaan bangunkan, beri peluang dan jadikan mereka berjaya tetapi kemudian mereka hilang.

Ambil duit mereka dan tinggal di luar negara, cuba buat kajian dan anda akan tahu siapa mereka ini. Kalau orang Melayu tidak mementingkan diri dan kekal di Malaysia, alhamdulillah. Jadi kita tidak boleh hanya memikirkan diri sendiri. Saya sudah merasa semua nikmat di dunia ini, cuma mati sahaja belum rasa.

Nikmat yang Allah berikan tiada yang lebih lagi, mahu lebih bagaimana lagi? Kita kena lebihkan di negeri sendiri, tanah tumpah darah kita dan bukan luar negara. Bawa balik dalam masyarakat dan kongsi segala kekayaan. adalah salah jika duit yang diperoleh daripada bantuan kerajaan dilaburkan diluar negara. Jangan tipu diri sendiri.

Ini tidak boleh. Kita kena balik kepada asas. Sewajarnya kita perlu sumbangkan kepada negara.

Saya akan terus usahakan selagi ada daya dan kesihatan. Biar seimbang kerana mencari rezeki adalah sebahagian daripada amalan. Ilmu juga sebahagian daripada amalan. Saya timba ilmu daripada pengalaman. Bila bercakap biarlah mengikut kedudukan. Jika ada RM1 jangan kata ada RM10. Ikhlaskan diri dan bila ada kemampuan, buat kerana Allah dan tidak perlu tonjolkan diri.

Tan Sri mengalami kerugian RM2 bilion semasa krisis ekonomi dahulu. Apa yang berlaku?

SYED MOKHTAR: Tahun 1997, kita labur dalam syarikat yang disenarai awam demi mengekalkan pegangan 30 peratus dalam syarikat-syarikat ini, naik setinggi mana pun kita tidak jual. Jadi, apabila krisis tiba dan harga saham merudum, kerana ingin kekalkan 30 peratus, rugi lebih kurang RM2 bilion. Macam-macam perasaan ada tetapi kita cari jalan untuk lupuskan kerugian dan cari peluang perniagaan baru.

Saya selalu tidak fikirkan diri sendiri, cuba jaga orang-orang yang terajui kumpulan. Sebab itu banyak yang kekal, biar sederhana tetapi tidak rosakkan diri dengan nikmat. Kadang-kadang benda yang kita dapat boleh rosakkan kita. Lebih baik kita amalkan “tidak lebih dan tidak kurang.” Kita kawal agar nikmat tidak rosakkan kita. Yayasan Albukhary menjadi tempat untuk menempatkan lebihan yang boleh rosakkan diri kita supaya dapat berkongsi dengan orang lain.

Jangan lupa asal diri walaupun kita dah pergi ke serata dunia. Insya-allah, orang Melayu hari ini pun dah ramai yang keluar universiti dan masih belum terlambat untuk berjaya, cuma ada jurang lagi. Kita kena terus bangun supaya bangsa lain tidak pandang hina pada kita. Maknanya biar dia cerdik dan kita pun tidak bodoh, dia kaya dan kita pun tak miskin. Kita kena cubalah, tiada miskin dalam nilai dan pembawaan, perlu ikhlas dan komited. Demi komitmen terhadap ummah, kita bawa masuk pelajar dari negara lain, ada yang miskin sangat, kasut dan baju pun tidak ada. Bila kita buat semua ini, ia secara automatik membawa kita kepada keinsafan.

Ada berpendapat bahawa Tan Sri melabur dalam terlalu banyak perniagaan. Bagaimana Tan Sri menguruskannya?

SYED MOKHTAR: Sistem pengurusan saya terbuka. Buat masa ini saya sedang berusaha menginstitusikan perniagaan dan yayasan saya supaya bila saya tiada nanti, kesemua ini masih boleh berjalan sebab telah ada satu sistem yang teratur dan mantap. Itu yang saya kesal bila ada orang Melayu yang jual kepentingan dan melabur di luar negara semasa berlakunya krisis ekonomi tahun 80-an dan 90-an.

Dahulu, semasa kerajaan suruh saya ambil alih Pernas, saya kata nak buat apa sebab saya tidak tahu pengurusan hotel. Tetapi kalau Pernas jatuh ke tangan orang lain, ia satu kemunduran DEB. Semasa saya ambil alih Pernas harga tawaran lebih sedikit daripada harga pasaran.

Bagi syarikat MMC (MMC Corporation Berhad), masa kita ambil alih daripada PNB dulu, harga sahamnya adalah lebih rendah berbanding sekarang. Bagi DRB-Hicom, kita berusaha bagi meningkatkan lagi prestasinya. Tetapi usaha itu bukanlah suatu yang dapat dilihat hasilnya dengan cepat. Kita kena berusaha walaupun lambat. Sekali lagi, ini semua untuk institusi, bukan untuk individu. Tetapi selagi hidup, kita akan pegang saham syarikat-syarikat itu kerana kita membangunkannya dari mula lagi.

Sekarang orang Melayu ada dua fahaman – parti UMNO dan Pas. Kadang-kadang kita tolong satu pihak sahaja sedangkan kedua-duanya adalah orang Melayu. Bagaimana Tan Sri melihat hal ini?

SYED MOKHTAR: Kawan- kawan saya di kampung ada ahli UMNO dan ada ahli Pas. Itu hanya fahaman politik tetapi dalam aktiviti masyarakat dan perniagaan, tiada perbezaan dan masalah. Kita hormati pemikiran politik masing-

masing dan tentunya saya sebagai anak UMNO, kadangkala ada berdebat tetapi kita tetap berkawan dan tidak bergaduh sesama sendiri. Dalam masjid, kenduri kita sama-sama masak nasi kawah, kita makan sekali. Insya-allah, jika kita tunjukkan nilai-nilai positif dalam diri kita dan saling tolong-menolong dan kunjung-mengunjungi antara satu sama lain, satu hari mungkin mereka akan tergerak hati untuk ikut kita. Jadi kita kena berkawan dan tunjukkan cara yang betul.

Apa yang harus dimiliki oleh orang Melayu?

SYED MOKHTAR: Bagi saya orang Melayu kita kena ada sifat kuat berusaha. Sama ada kita dapat kejayaan atau tidak, kita tak boleh putus asa. Kalau dapat kejayaan kena bersyukur, tidak dapat pun bersyukur juga. Saya tidak melihat cara jangka pendek untuk berjaya. Saya percaya kita mesti melalui proses tertentu untuk kita mendapat kejayaan.

Ini kerana sebelum kejayaan diperoleh, kita terpaksa mengalami bermacam-macam cabaran. Kita kena kenal diri kita sendiri. Dalam agama pun Allah suruh kita kenal diri sendiri sebelum mengenali Allah. Maknanya kita kena menilai dengan jujur dan tidak boleh tipu diri sendiri. Sebab itu apa yang kita buat mesti ikhlas.

Asas mesti ada iaitu asas ekonomi kerana seperti Cina, mereka dibawa masuk sebelum merdeka untuk berniaga, India bekerja di ladang-ladang dan orang Melayu dijadikan petani. Jadi, sememangnya wujud jurang ekonomi antara ketiga-tiga ini. Kalau kita kecewa maka jurang ini akan semakin jauh. Walaupun sesetengah orang Melayu mudah kecewa namun sekarang ini sudah nampak banyak perubahan.

Jurang itu masih ada tapi saya tak putus asa dan terus belajar selok-belok berniaga beras semasa mula berniaga dahulu, kalau tiada kekuatan sendiri dan tiada pengalaman selok-belok perniagaan, susah untuk maju ke hadapan. Untuk orang Melayu maju, mereka kena kembali kepada asas dan tiada sebab untuk seseorang untuk tidak maju.

Sekarang ramai yang tidak sabar dan menggunakan jalan singkat dan kata mereka kalau ada jalan singkat, kenapa pilih jalan jauh? Apa komen Tan Sri?

SYED MOKHTAR: Kalau kita tak sabar, kita akan dapat hasil yang “tak sabar”. Tahun 60-an saya adalah salah seorang yang tak dapat peluang, yang orang patut tolong. Tapi alhamdulillah, saya tolong diri saya sendiri. Kita semua sama saja. Mak saya kata, “Hangpa tujuh orang keluar dari perut aku.”

Kerana itu dia tak bagi kami berkongsi bisnes. Tujuh orang kena ada kemahiran sendiri dan bila jumpa kasih sayang akan berpanjangan. Sekarang ini saya tolonglah sikit-sikit. Tapi yang penting mereka tolong diri sendiri. Setiap orang akan dapat peluang mengikut kemampuan dan tak boleh berputus asa. Saya anak DEB dan pendukung UMNO. Saya melalui proses, misalnya, mula-mula minta lesen nak berniaga kedai, minta lesen lori. DEB sediakan semuanya tapi ada yang hendak cepat kaya ambil lesen pajak kepada Cina. Beli lori tidak mahu mengusahakan sendiri.

Kerajaan yang didukung oleh UMNO memang ada polisi untuk menolong orang Melayu. Tapi DEB hanya bagi orang Melayu 30 peratus dan 70 peratus lagi kepada kaum lain. Sebab itu bila saya jumpa mereka saya kata, DEB bagi 70 peratus kepada mereka dan saya hanya tumpang 30 peratus, itu pun mereka hendak suruh kaji semula. DEB kayakan seluruh masyarakat Malaysia dan memberi peluang terbuka kepada semua kaum dan bukan kepada orang Melayu saja. Saya tahu perkara ini sebab saya menceburi perniagaan sejak dari awal lagi.

Sekarang ini ada semacam teori bahawa untuk berjaya mesti mendampingi orang politik. Apa kata Tan Sri ?

SYED MOKHTAR: Kita kena kenal orang politik, kena ada hubungan dengan UMNO. Bila ada hubungan dengan UMNO ada hubungan dengan pemimpin, bila ada hubungan dengan pemimpin kita ada hubungan dengan kerajaan. Kita tak boleh menggunakan cara singkat untuk mendapat peluang, lepas itu orang lain yang ambil.

Macam saya, saya terpaksa pergi jumpa pemimpin atasan kalau ada masalah perniagaan yang melibatkan kepentingan negara. Kita ada hubungan dengan kerajaan. Kita minta tolong pemimpin kita mengenai apa yang kita boleh buat dan setakat mana kemampuan kita. Bukannya mengambil lesen kemudian bagi kepada orang lain. Saya panggil orang jenis ini sebagai individualis Melayu. Orang jenis ini fikir untuk diri sendiri saja.

Bila umur 45 mesti ada apartmen di luar negara, duit RM50 juta. Jadi, ini bukan masalah UMNO atau DEB. Ini masalah orang Melayu yang tidak percaya kepada diri sendiri. Mereka percaya kepada duit dalam akaun. Tapi saya tidak bersimpati dengan mereka yang bersikap demikian. Sebab itu saya tubuhkan yayasan. Syed Mokhtar akan mati. Yayasan akan kekal sebagai institusi. Syarikat-syarikat perniagaan juga akan kekal diurus oleh profesional yang berkelayakan dan bukan ahli keluarga. Perniagaan perlu menyumbang kepada hasrat yayasan dalam hal-hal kebajikan. Untuk itu perniagaan perlu diuruskan secara profesional untuk memastikan ia terus berkekalan.

Jadi kegagalan Melayu bukanlah kerana DEB gagal?

SYED MOKHTAR: Kalau gagal, itu disebabkan oleh orang Melayu sendiri. Saya dilahirkan oleh DEB, dapat lesen lori, duit bantuan Mara, UDA bagi kedai. Tetapi DEB bukan kayakan orang Melayu saja, DEB kayakan seluruh masyarakat. Ini yang saya suka tekankan supaya semua orang faham.

Mungkinkah orang Melayu tidak sedar mereka ketinggalan?

SYED MOKHTAR: Saya fikir orang Melayu sedar tapi mereka mungkin tidak mahu menjadikan itu sebagai satu isu. Bagi saya, kalau sedar macam mana sekalipun, isu tetap di situ juga jika tidak mencari jalan mengatasinya.

Seperti saya selalu kata, benda yang benar akan kekal. Bagi saya, orang Islam bernasib baik kerana kita ada akhirat. Dalam Islam, ajaran dan budaya sudah lengkap. Ini meliputi cara hidup dan cara kita cari rezeki. Kalau kita ikut nilai-nilai ini tak payah nak pakai serban. Orang Kedah kata macam lebai kodok, bukan cerdik sangat. Tapi yang penting kita ada kekuatan itu. Kita tak perlu ada sifat malu kerana kita tak mencuri. Setiap orang, Allah bagi kekuatan.

Ramai tertarik dengan Muzium Kesenian Islam yang diasaskan oleh Tan Sri. Kenapa Tan Sri menubuhkan muzium ini yang tidak ada pulangan komersial?

SYED MOKHTAR: Saya dapat peluang apabila kerajaan bercadang membuka Muzium Islam semasa ekonomi berada dalam keadaan baik. Saya lihat ini sebagai peluang untuk saya menyumbang balik kepada masyarakat walaupun saya tiada pengalaman.

Nasib baik adik saya mempunyai pengalaman dalam bidang muzium ini, kami berbincang dan bersetuju untuk membangunkannya kerana ia boleh menjadi tempat untuk mempamerkan artifak-artifak Islam tempatan dan luar negara. Ia juga menjadi peluang kepada rakyat negara ini dan asing untuk menyaksikan artifak dari Turki, Istanbul dan muzium luar negara tanpa perlu ke negara-negara berkenaan.

Saya sedang berusaha untuk membawa kaligrafi, ukiran dan juga bahan-bahan seramik dari pelbagai negara untuk dipamerkan di muzium ini. Secara tidak langsung ini menunjukkan Islam itu global. Artifak-artifak Islam ada di seluruh dunia tetapi tidak semua orang boleh menyaksikannya. Dan Muzium Kesenian Islam berusaha supaya semua orang boleh melihat warisan-warisan Islam daripada artifak-artifak ini.

Agama Islam ada di mana-mana negara dan artifak-artifak ini banyak dibawa masuk ke muzium menerusi pembelian, pertukaran artifak dan penganjuran pameran bersama Muzium Britain, Kaherah, Singapura. Bila kita buat pameran, kita terbitkan satu buku dan hantarkan ke seluruh dunia. Dari situ kita dapat belajar persilangan budaya yang berlaku kepada Islam di China, di India dan seluruh Asia, di mana-mana sahaja. Orang boleh nampak bahawa Islam agama yang terbuka.

Jiran saya di Alor Star ada India dan Cina, tiada masalah untuk hidup bersama. Islam tiada bagi masalah kepada yang bukan Islam. Muzium ini menunjukkan Islam itu global. Seramik dan besi cukup hebat. Artifak ini ada yang dibeli dari luar. Kerajaan bagi kita simpan dan kita buat muzium ini kita serah kepada kerajaan dan kerajaan pajak balik muzium ini untuk 99 tahun. Muzium ini dibiayai oleh Yayasan Albukhary sejajar dengan objektif untuk membangunkan budaya dengan belanja RM5 juta setahun. Saya juga mahu orang bukan Islam turut mengunjungi muzium ini untuk melihat tamadun dan kesenian Islam.

Masjid di Jalan Hang Tuah dibina bukan di kawasan majoriti Islam. Apa tujuan Tan Sri berbuat demikian?

SYED MOKHTAR: Asalnya masjid itu kecil sahaja. Ada jawatankuasa datang jumpa saya dan berbincang, saya kata jika mahu membangunkan semula biar betul-betul walaupun kawasan itu setinggan dan tidak ramai orang Islam.

Mungkin ada orang yang menaiki motosikal boleh singgah, budak-budak yang tinggal di pangsapuri berdekatan boleh datang mengaji, ada syarahan. Sasaran saya ialah masyarakat bandar yang berpendapatan rendah. Hari Jumaat boleh sembahyang di situ, saya fikir kita buat kerana Allah s.w.t. kita buat betul-betul. Ikhlaskan diri dan buat yang terbaik. Masjid di Jalan Hang Tuah ialah sebuah masjid bandar untuk warga kota. Ini membolehkan orang yang bekerja di sekitar kawasan itu singgah sembahyang di situ.

Bagaimana pula dengan bajet yayasan?

SYED MOKHTAR: Memandangkan yayasan baru hendak diinstitusikan, maka kita sedang meneliti banyak perkara terutama pendidikan yang melibatkan tuisyen yang disertai oleh pelajar-pelajar antarabangsa dari negara-negara yang penduduk Islamnya sedikit sahaja. Muzium pula lebih kepada persilangan budaya dan teras yayasan buat masa ini ialah pendidikan dan muzium sahaja. Sepuluh tahun yang lalu saya laburkan dalam pembinaan infrastruktur dan sekarang sedang membina kolej di Alor Star yang akan siap pada tahun 2009.

Sebanyak 3,000 pelajar disasarkan dengan 30 peratus pelajar tempatan manakala selebihnya antarabangsa. Ramai dari negara-negara Islam yang kecil di rantau Asia Tengah. Budak-budak ini cerdik tapi miskin dan mereka diberi pelajaran dalam Sains dan Matematik.

Ada juga kita hantar imam dan bilal yang kurang mampu ke Mekah untuk mengerjakan haji. saya lihat mereka ini kalau mati pun Allah beri mereka haji tetapi tidak dapat pergi ke Mekah kerana tidak mampu. Oleh itu, saya pilih 60 hingga 70 orang setahun dan kita bawa masuk Tabung Haji seperti yang ibu bapa kita buat. Selalu yang dapat ialah tok siak, imam dan bilal dan saya minta kuota daripada kerajaan untuk berbuat demikian.

Tan Sri pernah beritahu mahu memodenkan sistem sekolah pondok di negara ini. Adakah rancangan itu masih ada dan relevan untuk dilaksanakan pada masa ini?

SYED MOKHTAR: Sistem sekolah pondok yang ada pada hari ini memerlukan perubahan, sekolah yang lengkap dengan kemudahan asas. Ini penting kerana kebersihan itu adalah asas kesihatan pelajar dan juga sebahagian daripada iman.

Kolej Yayasan Albukhary di Alor Star ada sistem, lapan jam belajar, lapan jam waktu tidur dan lapan jam lagi untuk buat kerja-kerja sukarela. Pembelajaran hukum agama asas seperti sembahyang dan mengaji adalah tanggungjawab individu dan mesti ada. Kolej tidak banyak tumpukan kepada agama kerana itu tanggungjawab individu, tanggungjawab dengan Allah. Kolej itu tumpukan ilmu dunia.

Bila kita susah, orang tolong kita dan bila kita nampak orang susah kita kena tolong. Objektifnya bila keluar dari kolej ini mereka berisi dengan ilmu, nak jadi akauntan atau ahli ekonomi, kita berikan pelajaran dan lepas itu kita lepaskan, tiada terikat untuk pergi ke mana sahaja. Sistem sekolah pondok hanya pentingkan agama. Agama adalah tanggungjawab kita, memang ada dalam jiwa cuma perlu diperkuatkan tapi perlu juga ada ilmu dunia.

Boleh Tan Sri berkongsi zaman kanak- kanak, terutama cara Tan Sri dibesarkan dengan didikan keluarga yang bagaimana?

SYED MOKHTAR: Macam biasa juga, saya pergi ke sekolah rendah dan menengah. Cuma masa itu keluarga saya susah. Bila habis sekolah menengah, duit tidak ada dan saya ambil keputusan untuk tolong ayah saya dan berusaha dari kecil untuk berjaya. Duit kita guna untuk kehidupan peribadi dan untuk tolong orang lain juga.

Kaum lain ada organisasi seperti persatuan Hokkien atau Kantonis tetapi di mana orang Melayu? Di Kedah tiada satu pun dewan orang Melayu. Bila saya buat kolej, saya suruh buat lima atau enam reka bentuk sebab orang Kodiang, Arau, Padang Terap dan Pokok Sena bukan mampu untuk pergi sampai ke Samarkhan, Istanbul, Isfahan untuk melihat reka bentuk asing itu. Bila anda pergi ke kolej itu ada lima konsep seperti Morish, Turki, Tupaki, Afrika Utara dan sekali gus mencerminkan Islam yang global. Secara peribadi saya memang minat kepada seni bina Islam.

Buat masa ini, sementara menantikan kolej itu siap, kita tempatkan di UIA, ada 372 pelajar dari 47 negara dan insya-Allah, kita akan buka kolej di Kedah dan tumpukan kepada pelajaran asas seperti Pertanian, Perakaunan, Ekonomi dan ICT. Kita juga pernah adakan program ilmu untuk anak-anak Islam Pakistan dan ramai yang berjaya dan bekerja di luar negara. Perbelanjaan sepenuhnya kolej itu ialah RM600 juta apabila siap kelak. Seluas 75 ekar telah siap dan sekarang kita ada pusat dialisis, masjid dan rumah anak yatim dan orang tua, justeru pelajar itu akan buat kerja-kerja sukarela.

Tan Sri bukan sahaja mengembangkan perniagaan tetapi juga melaksanakan pengembangan yayasan.

SYED MOKHTAR: Itu niat saya. Sambil berniaga sambil juga membuat kerja-kerja kebajikan. Kita sementara masih hidup, melebihi 2.5 peratus zakat yang disyaratkan oleh Islam dan dapat tolong anak bangsa, dan juga bukan Islam, 70 anak-anak Islam dan 30 peratus lagi dikongsi oleh pelajar luar dan bukan Islam. Baru-baru ini kita menaja pelajar dari China untuk belajar di UIA tetapi kita tidak paksa mereka masuk Islam.

Bagaimana Tan Sri bekerja?

SYED MOKHTAR: Saya bertindak mengikut keperluan tapi kena terus berusaha agar setiap masalah selesai secepat mungkin. Harus menyelesaikan isu. Tidur selalu lewat, lagi malam lagi cerah mata kerana saya suka buat kerja malam-malam.

Yang penting semua kerja jadi, kena selesaikan isu walaupun berat. Kalau yakin perkara benar, tiada masalah. Perkara yang benar akan beri kita kekuatan untuk terus berusaha, jangan lari dari tanggungjawab.

Senaman kita buat secara sederhana, makan dan minum satu pertiga sahaja.

Saya suka berusaha dan cuba setakat yang terdaya kerana ini Tanah Melayu, jadi Malaysia. Bila saya jumpa pemimpin UMNO saya kata UMNO Melayu punya dan BN Melayu dan semua kaum punya. Dari awal, saya kata saya anak UMNO dan DEB. Kalau UMNO bagi teladan buruk, orang Melayu kecewa dan kita kena jaga. Bendang pun kita jaga dan jangan pajak kepada orang lain. Tapi bila orang cash-out, kita bina jurang yang luas lagi. Pergi luar negara untuk pengembangan tidak apa, tetapi asas kita di sini.

Adakah sejak dulu lagi Tan Sri sudah nampak masalah pendidikan orang Melayu?

SYED MOKHTAR: Masalah pendidikan memang ada dari awal lagi. Dalam tahun 60-an saya hadapi masalah pendidikan sebab tak ada kemampuan. Saya tidak boleh bayar yuran semasa di tingkatan lima.

Masalah budak-budak Melayu yang tak mampu nak bayar yuran memang ada pada masa itu. Saya nampak masalah pendidikan tapi saya pun salah seorang daripada mereka yang memerlukan pertolongan. Tapi tidak ada siapa yang tolong membayar yuran sekolah. Mungkin masa itu tidak ada orang Melayu yang berkemampuan yang boleh tolong saya. Jadi, bila dapat sikit peluang dalam perniagaan, saya ada kemampuan untuk menolong orang lain. Orang kaya ada dalam semua kaum. Mereka kena membantu kaum sendiri supaya tidak tercicir. Yang miskin kita kena bantu.

Apa yang Tan Sri akan lakukan dengan wang tunai RM80,000 yang diterima bersama trofi Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan itu?

SYED MOKHTAR: Saya akan memberikannya kepada ibu saya. Masa dulu bila saya dapat RM1,000, saya hanya memerlukan RM500 saja. Bila saya dapat RM1,500 dan bawa balik ke rumah, mak saya kata RM750 cukup untuk keluarga. Baki RM750 bagi kepada orang tua-tua. Dari situ saya nampak perlunya jiran dan masyarakat dalam kehidupan kita. Saya dah ada interaksi dengan masyarakat.

Salam kekayaan,

Thinkerich