Selasa, Disember 04, 2007

BERHATI-HATI JIKA INGIN KAYA...!

Salam kepada pembaca blog. Agak lama saya tidak update kandungan blog ini. Saya mohon maaf, kerana agak sibuk kebelakangan ini dengan rutin harian. Baiklah kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda satu lagi tips yang sangat menarik.

Selepas makan tengahari tadi, saya telah dihubungi oleh rakan karib saya. Sudah agak lama beliau tidak menghubungi saya. Namun kali ini saya agak terkejut dengan nada suara ghairah beliau. “Berita baik dan luarbiasa! Jadilah orang terawal meyertai program ini” Itulah ungkapan yang keluar dari mulut beliau, "peluang ini tidak boleh dilepaskan oleh sesiapa sahaja jika mahu menjadi kaya."

“Keluarkan wang RM 5,000.00, dan dapatkan seramai mungkin rakan-rakan untuk menyertai program ini! Dan dalam masa sebulan dari sekarang anda akan mendapat sebuah kereta BMW !”

Wah..wahh.wahhh…! hebat sungguh bunyinya dan saya percaya mereka yang tidak pernah berhadapan dengan Skim Cepat Kaya, Skim Piramid, Binari dan Pelaburan Internet pasti teruja dengan pulangan yang dijanjikan. Malangnya ada juga mereka yang pernah terkena atau menjadi mangsa penipuan pada skim sebelum ini masih terpengaruh. Nasihat saya kepada rakan saya dan semua agar hentikanlah dalam melakukan perkara-perkara sebegini. Sudahlah dan hentikanlah kepercayaan karut anda untuk menjadi kaya dengan cepat. Jika anda semua masih lagi dihampiri dengan mereka yang bermulut manis dan bercakap berdegar-degar tentang pulangan yang singkat, saya nasihatkan sekali lagi agar lari jauh-jauh. Bawa-bawalah untuk berfikir secara waras. Tiada sesiapa pun yang sudi berkongsi keuntungan dan kekayaan dengan anda.

Mereka mempelawa anda dengan nada ‘berkongsi’ tetapi jauh di lubuk hati mereka tidak lain hanya semata-mata untuk mendapatkan komisen hasil daripada wang yang anda keluarkan dan peserta lain di bawah mereka. Last-last mereka yang terdahulu juga untung. Yang menyertainya kemudian sekadar berputih mata dan hanya mampu mengigi jari. BMW ntah kemana, wang simpanan pun hangus begitu sahaja.

Jadi nasihat saya jika anda ingin menjadi kaya tambahkan pengetahuan kewangan anda. Belajar bagaimana kekayaan sebenarnya boleh diperolehi daripada mereka yang telah menjadi kaya. Jangan sekali-kali belajar daripada mereka yang 'mengajak anda untuk menjadi kaya!' Kerana mereka ini tiada lain semata-mata untuk menjadikan anda mangsa pembohongan mereka. Ingatlah bahawa fenomena ‘cepat kaya’ ini akan terus wujud dari masa ke semasa. Cuma gaya dan taktik mereka sahaja yang berbeza dengan kaedah yang lebih licik untuk memperbodohkan kita semua.

Jadi berfikiran ‘kaya’lah selalu dan bukannya ‘cepat kaya!’

Salam kekayaan

Thinkerich