Rabu, Mei 30, 2007

BACA DAN MENJADI KAYA ?

Salam Sejahtera,

Apa khabar semua?

Semoga WARAS (kata orang Jawa)................


Baiklah kali ini kita ke satu topik yang agak pelik bunyinya......

"Baca Dan Menjadi Kaya?"

Saya pasti anda tertanya-tanya? Kenapa dengan membaca boleh menjadi kaya? Ya, sudah tentu dengan banyak membaca anda boleh menjadi kaya. Jika anda membaca karya fiksyen, secara tidak langsung anda telah mengembangkan daya imaginasi anda. Jadi daya imiginasi anda semakin kaya......Jika anda membaca karya sastera pula, anda secara tidak langsung memperkayakan bahasa sastera anda yang berbunga-bunga itu, dan jika anda membaca bahan motivasi, anda memperkayakan semangat dorong anda! Tidak begitu? Ya, begitulah keadaan sebenarnya.

Pemikiran dan sikap kita adalah dipengaruhi dengan apa yang kita baca. Penulis Politik biasanya akan lebih fokus untuk membaca bahan politik, Usahawan pula akan lebih gemar dan meminati bahan bacaan yang boleh memperkayakan ilmu keusahawanan mereka. Pernahkan anda mendengar orang yang membaca dan menjadi kaya? Tidak pernah! Biar saya beritahu anda perkara sebenar. Untuk pengetahuan anda ramai dikalangan mereka yang berjaya dan kaya dalam dunia perniagaan dan pelaburan adalah dikalangan mereka yang memang minat membaca. Salah satu contohnya ialah saudara Azizi Ali. Beliau menjadi kaya selepas menghabiskan ribuan ringgit dengan membaca pelbagai buku berkenaan kewangan. Beliau juga telah membaca tidak kurang daripada 700 buah buku. Melalui pembacaannya itu pula, beliau telah menghasilkan pula 13 buah buku hasil tulisannya sendiri dengan trademark 'Jutawan' dan laris seperti pisang goreng dan memperolehi royalti hasil jualan buku tulisannya pada tahun 2005 sahaja melebihi RM 1 juta........Woww ! Cukup mengkagumkan....

Seseorang pelabur yang berjaya pula mempunyai kemahiran membaca penyata kewangan sesebuah syarikat sebelum mengambil keputusan untuk melabur dengan syarikat berkenaan. Jadi untuk menjadi kaya dan berfikiran kaya, anda perlulah terlebih dahulu memperbanyakkan bacaan anda!

Selamat berfikiran kaya!

Thinkerich

Selasa, Mei 29, 2007

Kad Kredit ? atau Kad Hutang?

Salam Sejahtera,

Sejak sekian lama menyepi akhirnya "thinkerich" muncul kembali! Mungkin ramai yang tertanya-tanya? Apakah beliau sudah berhenti untuk berfikir kaya? Baiklah tuan puan sekalian, sebenarnya 'thinkerich' sedang 'berhibernasi'...apa pulak tu? (sila rujuk kamus dwibahasa Oxford- 'hibernation')...;)

Tanpa membuang masa kita teruskan post kali ini. Adakah anda memiliki Kad Kredit? Jika ya, adakah ianya telah membantu anda kelihatan mewah dan kaya? Atau anda kini sedang mengalami sakit kepala tidak dapat tidur malam, dek kerana memikirkan hutang anda kian bertambah? Jika ditanya kepada mereka yang tidak berupaya memiliki Kad Kredit, mereka akan menganggap bahawa memiliki kad kredit adalah untuk orang KAYA !

Betulkah, kenyataan ini? Sudah pasti meleset sama sekali. Jika anda belum memilikinya dan kini telah berupaya untuk memilikinya (al maklumlah, kini ramai kakitangan awam dah bergaji besar !), saya nasihati anda semua agar menjauhi KAD yang satu ini! Melalui pemerhatian dan pengalaman masyarakat sekitar, kebanyakan mereka yang pertama kali memilikinya akan kehilangan kawalan ke atas perbelanjaan mereka. Mereka cenderung untuk berbelanja secara berlebihan dengan menurut kemahuan dan keinginan yang tidak terbatas. Jadi kesudahannya mereka terperangkap dalam dunia HUTANG ciptaan mereka sendiri!

Jadi, jika ada agen kad kredit yang menawarkan kad sebegini ini, pastikan anda dengan tersenyum dan dengan bangganya menyatakan kepada mereka ;

" Terima kasih, wang saya masih mencukupi...........................................
Saya tidak perlukan Kad Hutang.....;)"


Pastikan anda mengukir senyuman paling manis kepadanya....agar mereka faham bahawa anda sebenarnya seorang......'Pemikir Kaya' dan bukannya 'Pemikir Hutang'..........


Salam Kekayaan....

Thinkerich

Selasa, Mei 22, 2007

Gaji Naik, Peluang Terbaik Rancang Kewangan

Salam sejahtera,

Semalam Y.A.B Perdana Menteri telah mengumumkan kenaikan gaji bagi lebih sejuta kakitangan awam. Tahniah! diucapkan kepada semua kakitangan awam, semoga mereka dapat menggunakan sebaik mungkin peluang ini untuk merancang kembali kedudukan kewangan mereka.

Baiklah, dengan kenaikan sehingga 35% pada pendapatan mereka sudah tentu memberi lebih ruang untuk mengstruktur kembali kewangan masing-masing. Inilah masa terbaik untuk meningkatkan simpanan dan juga menghapuskan bebanan hutang dengan lebih cepat. Pastikan anda tidak cuba menambah bebanan hutang dengan berbelanja mengikut kemampuan tetapi berbelanja di bawah kemampuan(ingat lagi post saya sebelum ini?) jika anda ingin menjadi kaya.

Tingkatkan Simpanan Anda, Hapuskan Bebanan Hutang Anda!

Thinkerich

Jumaat, Mei 18, 2007

Rezeki Secupak, HUTANG Segantang?

Salam sejahtera,

Topik semalam kita membicarakan tentang topik "rezeki secupak menjadi segantang" tetapi kali ini kita akan membicarakan ungkapan yang tidak kurang menariknya, iaitu:-

"Rezeki Secupak, HUTANG Segantang"

Apa maksudnya? jika topik semalam berkenaan menambah pendapatan tetapi topik kali ini berkaitan menambah hutang. Bagaimana? melalui kad kredit. Biasanya mereka yang berpendapatan di antara lingkungan RM 2,500.00 hingga RM 3,000.00 sebulan biasanya berupaya mendapat had kredit bagi satu kad sejumlah RM 5,000.00 dari pihak bank. Cuba anda bayangkan jika mereka mempunyai 4 kad kredit dengan had kredit yang sama? Jumlahnya sudah tentu RM 20,000.00 sebulan yang mana mereka boleh berbelanja(berhutang) sebanyak itu. Woww....sungguh lumayan jika itu pendapatan bersih mereka sebulan, tetapi realitinya hanyalah fantasi.....

Jadi jauhilah daripada ungkapan ini dalam kamus kewangan hidup anda. Jika anda telah terjebak, jangan risau kerana setiap masalah ada penyelesaiannya. Terus bersama blog ini untuk mendapatkan penyelesaiannya...........

Selamat berfikiran kaya........

Thinkerich

Khamis, Mei 17, 2007

Rezeki Secupak Menjadi Segantang

Salam sejahtera,

"Rezeki secupak menjadi segantang? Apa maknanya ?" tanya mereka kepada saya. Baiklah saya terangkan kepada anda semua. Bagi warga moden atau millenium mungkin anda tidak pernah dengar ukuran bagi sukatan 'klasik' ini, bahkan ada juga di kalangan mereka yang belajar sukatan pelajaran KBSR dan KBSM tidak mengetahuinya. Cupak ialah alat ukuran yang biasanya digunakan untuk menyukat beras dan diperbuat daripada logam. Segantang pula adalah bersamaan dengan 4 cupak.(1 gantang = 4 cupak).

Simboliknya daripada ungkapan ini adalah untuk menerangkan kepada anda agar berusaha menambahkan pendapatan sedia anda. Jika sebelum ini anda memperolehi RM 1,000.00 sebulan bermakna anda perlu fikirkan untuk menjadikannya RM 4,000.00 atau lebih lagi. Sebenarnya banyak kaedah dan usaha yang boleh anda lakukan untuk menambahkan pendapatan, namun ianya bergantung kepada anda sendiri untuk menentukannya. Tepuk dada tanya fikiran anda !

Selamat berfikiran kaya!

Thinkerich




Selasa, Mei 15, 2007

Harga Barang Naik...Gaji Belum Naik ?

Salam sejahtera,

Sejak kebelakangan ini isu kenaikan gaji kakitangan awam sibuk diperkatakan. Belum pun sempat diumumkan oleh Y.A.B Perdana Menteri, mengenai perkara ini, harga barangan keperluan secara sedar tak sedar mulai naik. Tauke -tauke kedai mulalah mengumumkan kenaikan harga barangan runcit di premis mereka dengan alasan harga telah dinaikkan oleh pemborong dan pengilang. Apa sudah jadi? Nampaknya kenaikan gaji kakitangan awam, telah dijadikan sebagai alasan bagi menentukan harga barangan. Bagaimana dengan nasib mereka yang bekerja di sektor swasta, para petani, nelayan, penternak, peniaga-peniaga kecil, dan semua golongan pengguna lain yang bukan dari sektor awam?

Sudah tentu mereka turut merasa kesan langsung kenaikan harga barangan ini dan apa yang pasti perbelanjaan mereka secara tak langsung telah meningkat walaupun kenaikannya tidak besar namun ianya turut memberi kesan ke atas kedudukan kewangan mereka. Jadi bagaimana dengan anda pula? Dapatkah anda menangani perkara ini? Sebagai individu kita tidak ada kuasa untuk menghalang kenaikan harga barangan yang berada di luar kawalan kita.

Jadi anda tidak boleh hanya merungut, sebaliknya anda perlu berusaha berfikir bagaimana "rezeki secupak boleh menjadi segantang." Jadi penyelesaiannya hanya satu. Anda terpaksa mengawal apa yang berada di bawah kawalan anda iaitu pendapatan anda. Kawal ikut kemampuan anda! Jangan biarkan ianya berada di luar kawalan anda!


Selamat berfikir untuk kaya.

Thinkerich

Bijak Simpan Wang Untuk Anda

Salam sejahtera,

Jika semalam kita berbicara tentang bijak mengurus wang anda, hari ini kita ke peringkat asas untuk pengurusan kewangan peribadi, iaitu Simpanan. Saya percaya bagi mereka yang telah biasa dengan topik-topik perancangan kewangan peribadi semestinya sudah biasa dengan saranan untuk menyimpan sebahagian atau 10% dari pendapatan anda setiap bulan. Jika tidak, anda boleh rujuk 'post' saya sebelum ini.

Baiklah kali ini saya akan berkongsi dengan anda bagaimana untuk meningkatkan lagi simpanan anda dengan hanya memupuk tabiat menabung setiap hari. Ya, agak biasa bunyinya bukan? Tetapi harus diingat jika anda serius dan benar-benar memupuk tabiat ini anda akan melihat hasilnya nanti.

Bayangkan setiap hari jika anda mempunyai lebihan bagi setiap perbelanjaan hatta satu sen sekalipun, masukkanlah ke dalam tabung simpanan anda dan selepas itu lupakan. Cuba lakukan setiap hari dan setelah penuh tabungan anda, pindahkan ke akaun simpanan bank anda. Jangan wujudkan kad ATM bagi akaun ini. Nah! sekarang anda boleh hitung simpanan anda, selain daripada 10% setiap bulan(jika anda simpanlah) dicampurkan dengan simpanan tabungan anda setiap hari, jumlahnya simpanan anda kini bukan lagi 10% tetapi mungkin menjadi 15% setiap bulan. Mudah bukan?

Salam kekayaan.

Thinkerich


Isnin, Mei 14, 2007

Bijak Mengurus Wang Anda

Salam sejahtera,

Topik semalam membicarakan tentang "Pendapatan lumayan...belum pasti kaya!" Itulah kenyataannya. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa ramai di kalangan mereka yang berpendapatan tinggi yang pening kepala setiap bulan memikirkan kedudukan kewangan mereka.
Mengapa perkara ini boleh terjadi ? Menurut kajian, gaya hidup berbelanja mewah melebihi pendapatan ini terjadi adalah kerana tabiat atau sikap berbelanja individu itu sendiri yang gagal menguruskan kewangan mereka dengan baik.

Sebenarnya, bukan jumlah pendapatan yang menjadi penentu kepada kedudukan kewangan anda, tetapi apa yang lebih penting ialah sikap dan tabiat anda dalam menguruskan kewangan anda yang menjadi faktor utama sama ada anda boleh jadi miskin, sederhana atau pun kaya. Tidak kira anda berpendapatan besar, sederhana mahu pun kecil. Jika anda berpendapatan kecil atau sederhana tetapi anda bijak menguruskan wang anda, sudah pasti kedudukan kewangan anda jauh lebih baik daripada mereka yang berpendapatan tinggi. Apa yang penting anda tahu matlamat kewangan anda dan sentiasa merancang perbelanjaan anda.


Selamat merancang kewangan anda dan berfikiran kaya.....

Thinkerich

Ahad, Mei 13, 2007

Pendapatan Lumayan ...Belum Pasti KAYA !

Salam sejahtera,


Adakah anda memperolehi pendapatan yang lumayan setiap bulan ? Jika ya, mungkin ada di antara kenalan dan saudara mara anda akan menganggap anda sebagai seorang yang kaya. Apa tidaknya, anda tinggal di rumah yang besar dan mewah, memandu kereta mewah, berpakaian berjenama, membeli belah di gedung perniagaan yang eksklusif, tetapi cuma anda yang tahu dari mana anda mendapatkan semua itu.

Maksud saya punca kewangan anda untuk memperolehinya, sama ada secara tunai mahu pun kredit. Sama ada ianya mengikut kemampuan ataupun ianya melebihi pendapatan anda.
Jika ianya melebihi pendapatan anda, maka anda berada dalam keadaan berhutang. Ya ! memang benar pendapatan anda lumayan dan tinggi tetapi jika anda belanja melebihi pendapatan anda sebenarnya hidup anda dalam keadaan sebaliknya, kaya dengan hutang. Ini mungkin terjadi demi menjaga status dan gaya hidup anda untuk kekal kelihatan mewah dan bergaya tetapi dalam masa yang sama anda terpaksa menanggung hutang yang tinggi. Jadi berhati-hatilah jika anda memperolehi pendapatan lumayan, kawal perbelanjaan anda! kerana walaupun anda memperolehi pendapatan RM 10,000.00 sebulan tetapi berbelanja RM 15,000.00 sebulan sudah pasti anda tidak akan kaya.

Semoga berfikiran kaya,

Thinkerich



Sabtu, Mei 12, 2007

Belanja Di bawah Kemampuan

Salam sejahtera,

Ingat lagi topik sebelum ini, "Belanja Ikut Kemampuan"? Dan jika anda mengikutinya semalam, pada akhir topik berkenaan saya ada menyarankan agar anda untuk "Belanja Di bawah Kemampuan Anda" jika anda benar-benar ingin menjadi kaya.

Tahukah anda, menurut kajian ke atas orang-orang kaya, tabiat berbelanja mereka amat berbeza dengan kebanyakan masyarakat sama ada dari golongan pendapatan sederhana mahu pun rendah. Anda pasti agak terperanjat kerana realitinya mereka yang kaya tidak berbelanja melebihi pendapatan mereka bahkan tidak juga mengikut kemampuan mereka malah mereka berbelanja di bawah kemampuan mereka!

Ya, benar. Saya ulangi sekali lagi. "Mereka berbelanja di bawah kemampuan mereka." Jadi sebab itulah mereka sentiasa ada lebihan wang sama ada dalam bentuk simpanan mahu pun untuk tujuan pelaburan. Maka tidak hairanlah mereka boleh menjadi kaya. Jadi anda bagaimana? Jika anda serius untuk menjadi kaya, berbelanjalah di bawah kemampuan anda dan jangan berbelanja ikut kemampuan anda.


Selamat berbelanja dengan berfikiran kaya!

Thinkerich

Jumaat, Mei 11, 2007

Belanja Ikut Kemampuan

Salam Sejahtera,

Pada topik sebelum ini, kita telah membincangkan tentang saranan agar jangan belanja melebihi pendapatan jika ingin menjadi kaya. Jadi sebaliknya jika anda mahu jadi kaya anda perlulah "berbelanja ikut kemampuan" anda dan bukannya "belanja ikut kemahuan anda!"
Tetapi jika anda benar-benar ingin menjadi kaya, anda hanya perlu "belanja di bawah kemampuan anda!"

Selamat berfikiran kaya,

Thinkerich

Khamis, Mei 10, 2007

Jangan Belanja Melebihi Pendapatan

Salam sejahtera,

Jika anda benar-benar serius ingin menjadi kaya, anda perlu pegang prinsip ini,

“Jangan Belanja Melebihi Pendapatan”

Logiknya di sini, adakah anda boleh menjadi kaya jika anda memperolehi RM5,000.00 sebulan tetapi dalam masa yang sama anda belanja RM 7,000.00 sebulan? Pasti anda tidak akan menjadi kaya melainkan kaya dengan hutang! Jadi fikir-fikirkanlah.

Selamat berfikiran kaya,

Thinkerich

Rabu, Mei 09, 2007

Jimatkan Bil Elektrik Anda !

Salam Sejahtera,

Mungkin ada di antara kita yang sering keberatan untuk melihat bil elektrik setiap kali bil baru sampai ke pintu rumah. Ini kerana tentu anda tidak mahu memeningkan kepala dengan memikirkan beban bil elektrik yang terpaksa dibayar.

Oleh itu, kali ini biarlah saya kongsikan kepada anda beberapa tips di bawah supaya anda dapat menjimatkan bil eletrik anda.(supaya anda boleh menyimpan wang lebihan untuk menjadi lebih kaya dari bulan lepas)

Baiklah, kita bermula dengan penjimatan di ruang tamu yang selalunya kerap kita berada di dalam rumah kita samada untuk menonton tv atau membaca surat khabar atau bersantai bersama-sama anak-anak dan isteri.

[+]Suis
Tutup suis elektrik yang tidak digunakan.

[+]TV, Pemain VCD/DVD, Video Game, HiFi,
Tutupkan suis peralatan di atas jika tidak
digunakan. Sekiranya dibiarkan pada keadaan
'tunggu sedia', tenaga elektrik masih digunakan.

[+]Penghawa Dingin
-Tutup bidai dan langsir bagi menghalang
cahaya matahari masuk ke ruang yang
ingin didinginkan.

-Cuci penapis udara sekerap yang mungkin.
Penapis udara yang kotor menyebabkan
penghawa dingin menggunakan lebih tenaga
elektrik.

-Tetapkan suhu di antara 22C - 26Celcius untuk
keselesaan suhu yang optimum.

-Jangan halang unit luar (compressor) daripada
mendapat kitaran udara yang maksimum.

[+]Lampu
-Padam lampu apabila tidak digunakan.

-Sebaik mungkin yang boleh gunakanlah
cahaya semulajadi.

-Gunakanlah mentol 'energy saving'. Ia
bukan sahaja menjimatkan elektrik malah
tahan lebih lama.


"Jimatkan wang anda, tambahkan simpanan anda !"

Thinkerich

Selasa, Mei 08, 2007

Percaya Untuk KAYA

Salam Sejahtera,

Anda hanya ada dua pilihan, menjadi kaya ataupun untuk kekal miskin? (hidup sederhana tidak perlu diberi pilihan kerana kebanyakan orang bermula dengan berada pada tahap ini sebelum memilih untuk menjadi kaya atau kekal miskin). Jika anda percaya bahawa anda hanya sekadar hidup didalam zon selesa anda, maka anda telah membuat pilihan untuk menghampiri kemiskinan.

Namun sebaliknya jika anda percaya bahawa anda boleh berjaya dan mejadi kaya , sudah pasti anda akan berusaha untuk mencapai kekayaan. Betul atau tidak hanya anda yang perlu memilih menggunakan anugerah paling besar yang dikurniakan oleh Allah s.w.t iaitu melalui minda anda.

Seperti anda juga, saya percaya sudah tentulah anda memilih kekayaan kerana itulah tujuan utama anda bersama blog ini. Menurut pakar motivasi, “anda akan memperolehi apa yang anda cari!, anda cari kejayaan sudah pasti anda akan menemuinya, cari rezeki anda akan menemui rezeki anda, cari penyakit anda akan dapat penyakitnya, cari masalah maka masalah yang bisa anda temui. “ Adakah anda lebih senang untuk mencari kemiskinan? Sudah tentu tidak dan semua orang berusaha mencari kekayaan tetapi tidak pula semua menemuinya terus! Tetapi bagi yang terus mencari anda akan memperolehinya juga akhirnya. Itu adalah perkara yang pasti.

Yang pasti " jangan, jangan, jangan mudah berputus asa. Teruskan pencarian anda dengan berfikiran KAYA dan bukannya cepat kaya !"

Semoga anda percaya untuk KAYA !

Thinkerich

Isnin, Mei 07, 2007

Orang Kaya Tidak Melabur Di Dalam SKIM CEPAT KAYA !

Salam Sejahtera,

Kita bersua lagi kali ini. Baiklah post kali ini agak panjang tapi cukup bermakna buat tatapan anda semua yang memilih untuk berfikiran kaya bukan berfikiran "CEPAT KAYA!".

"ORANG KAYA TIDAK MELABUR DI DALAM SKIM CEPAT KAYA !"

Ya ! anda perlu tahu fakta ini, sememangnya orang kaya tidak mudah untuk percaya pada skim-skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan berlipat kali ganda tanpa asas-asas yang kukuh. Mereka tidak sanggup kehilangan wang mereka dalam bentuk pelaburan sebegini kerana mereka tahu bukan mudah untuk menjadi kaya. Mereka lebih arif selok belok perniagaan kerana pelaburan berkait rapat dengan bentuk perniagaan. Dan apa yang pasti mereka tahu setiap wang yang dilaburkan mestilah ada kaitan yang munasabah dengan bentuk pulangan. Mereka sendiri tahu jika sebegitu tinggi pulangan yang diberikan sudah pasti “ada udang di sebalik batu”.

Apa tidaknya mereka sendiri sedia maklum tidak ada orang yang sanggup membahagikan keuntugan mereka dengan jumlah yang sebegitu tinggi dengan anda hanya kerana anda melaburkan wang, tanpa berbuat apa-apa. Biasanya “sleeping partner” akan memperolehi bahagian yang paling kecil berbanding dengan mereka yang turut sama berusaha menjayakan sesuatu usaha perniagaan itu. Malangnya mereka yang tidak seberapa kaya inilah yang biasanya paling banyak memperjudikan wang mereka ke dalam sistem ponzi , piramid dan skim cepat kaya. Mengapa perkara ini boleh berlaku?

Kerana sebenarnya mereka langsung tidak ada asas kewangan apatah lagi asas pelaburan sebenar bagi membantu mereka memilih bentuk pelaburan yang tulen. Dan apa yang paling penting fikiran mereka yang tidak berilmu biasanya akan dikuasai oleh 5 huruf ini setiap kali berdepan dengan wang, iaitu "T.A.M.A.K"

Jadi ingatlah pesan ini "Berfikiran kaya sentiasa dan bukannya fikirkan

CEPAT KAYA"

Salam Kekayaan,

Thinkerich


Ahad, Mei 06, 2007

Kekayaan Sebenar

Salam sejahtera,

Kali ini kita akan menyentuh berkenaan erti kekayaan yang sebenar. Prinsip asas dalam Islam, dan juga agama-agama lain ialah kejayaan anda di hari akhirat bergantung kepada apa yang telah anda lakukan ketika hidup di dunia, bukannya berapa banyak wang yang telah anda kumpulkan. Kebanyakan daripada kita mudah terlepas pandang erti kekayaan sebenar dalam hidup kita seharian. Pakar dan ahli psikologi telah mendefinisi kejayaan dan kekayaan sebenar kepada maksud berikut:-

" memberi dan menerima kasih sayang, mengecapi kesihatan mental dan fizikal, cukup wang untuk membuat pilihan, dan masa untuk menikmati semuanya itu."

Namun begitu, tidak kira apa pun jua definisi anda tentang kejayaan dan kekayaan, pastikan ia merangkumi ukuran yang munasabah bagi kesemua perkara paling penting dalam hidup anda.

Salam kekayaan,

Thinkerich

Sabtu, Mei 05, 2007

Fikirkan Kekayaan....

Salam Sejahtera,

Kali ini saya ingin mengajak anda semua untuk memulakan hari anda semua dengan memahami cara anda semua berfikir. Renungkanlah.............

" Tidak ada sesuatu pun yang menjadi sama ada KAYA atau miskin, tetapi dengan memikirkannya membuatkan ia jadi begitu................" - Thinkerich

Selamat berfikiran Kaya sentiasa....

Thinkerich

Jumaat, Mei 04, 2007

Wang Atau Ilmu ? Yang Mana Pilihan Anda ?

Salam Sejahtera,

Jika anda diberi pilihan yang mana satu pilihan anda? Wang atau Ilmu Kewangan?
Saya percaya hampir kesemua akan memilih wang. Betulkan !
Namun begitu, jika anda seorang yang berfikiran kaya, saya pasti anda akan mempertimbangkan dahulu tawaran ini kerana anda tahu wang boleh datang dan pergi dalam sekelip mata tetapi ilmu kewangan jika anda dapat fahami dan kuasainya, sudah pasti anda dapat menggunakannya untuk mengembangkan lagi kekayaan anda. Yang mana satu pilihan anda sekarang ? Wang atau Ilmu ? Tepuk dada tanya fikiran anda...

Salam Kekayaan,

Thinkerich

Khamis, Mei 03, 2007

Fikirkan Kekayaan..Anda Akan Mendapatkannya

Salam Sejahtera...

Pernahkah anda fikirkan pada masalah kewangan anda yang sentiasa tidak cukupkan wang ? Jika pernah, apa yang anda dapat bila anda fokuskan atau terlalu memikirkannya ? TIDAK CUKUP WANG bukan !
Ya ! anda akan dapati bahawa anda memang tidak mempunyai wang yang cukup. Apabila anda fokuskan pada masalah kewangan anda maka anda akan mendapatkan jawapannya. Ini kerana setiap soalan adalah jawapan, saban hari menyoal "mengapa aku tidak cukup wang?" Itulah jawapannya-sepanjang masa hanya mencari sebab mengapa tidak pernah cukup wang.
Apa yang sepatut anda fikirkan adalah "bagaimana hendak tambah wang". Apa yang anda fokus, maka itulah yang anda perolehi. Kerana itulah sering kedengaran "Yang Kaya bertambah kaya,"-yang kaya sentiasa memfokuskan fikiran mereka kepada subjek kekayaan kerana suasananya memang kaya. Oleh itu, mereka semakin kaya.

Semoga anda sentiasa fikirkan kekayaan...

Thinkerich

Rabu, Mei 02, 2007

Bayar Gaji Untuk Diri Sendiri.

Salam kekayaan dan salam sejahtera,

Kelmarin saya ada menyentuh tentang pendapatan pekerja sempena sambutan hari pekerja. Baiklah hari ini saya akan berkongsi dengan anda semua bagaimana caranya anda boleh mengawal wang anda agar anda tidak seterusnya bekerja untuk wang anda.
Anda perlu tahu membezakan antara keperluan dan kemahuan.
Penuhi dahulu keperluan anda, dan jangan sekali-kali terikut-ikut dengan kemahuan anda kerana walau apa keadaan sekali pun anda tidak dapat memenuhi kesemua kemahuan anda yang sentiasa berubah-ubah dan tertarik kepada sesuatu yang baru. Jika saiz kasut anda 12, janganlah pula anda memakai kasut saiz 16, pasti anda tidak boleh memakainya dengan selesa.
Jadi penyelesaiannya di sini ialah anda perlu mengubah sistem pengurusan aliran wang gaji anda setiap bulan. Bagaimana ? Dengan hanya menyimpan sebahagian daripada gaji yang diterima sebelum membelanjakan selebihnya. Sekiranya gaji anda RM 1,000, anda perlu menyimpan sekurang-kurangnya RM 100 setiap bulan ke dalam akaun khas yang anda wujudkan. Anda tidak boleh sama sekali menggunakannya. Lupakan RM 100 itu dan fikirkan baki RM 900 lagi yang perlu anda belanjakan.
Perlu diingatkan anda tidak boleh menjadi kaya tanpa ada tabiat menguruskan wang dengan cekap dan baik. Wang yang anda peroleh jika tidak disimpan akan terus mengalir keluar ke poket orang lain. Jadi saya minta tolong, tolonglah kasihankan diri anda sendiri. Bayarlah gaji sekurang-kurangnya 10% untuk diri anda sendiri setiap kali anda memperolehinya setiap bulan.

Selamat membayar gaji untuk diri sendiri.

Thinkerich.

Selasa, Mei 01, 2007

Salam Hari Pekerja

Salam kekayaan .........
kepada semua pekerja hari ini !

Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua yang bergelar 'Pekerja' kerana jasa dan sumbangan anda semua dalam memajukan ekonomi negara.
Bagaimana pula dengan kedudukan ekonomi anda sebagai pekerja ? Adakah stabil ? atau sekadar cukup makan atau yang lebih parah lagi sekadar 'gali lubang tutup lubang'? Semuanya bergantung kepada anda tentang bagaimana anda menguruskan kewangan melalui pendapatan anda sebagai seorang pekerja.
Tidak dinafikan ada segelintir pekerja yang mampu menguruskan sumber pendapatan mereka dengan bijak. Namun begitu, kebanyakan mereka tidak ubah seperti ungkapan peribahasa, 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'. Bagi mereka bekerja hanyalah sekadar untuk menjelaskan bil. Jika tidak cukup, buat pinjaman sama ada dengan rakan-rakan, saudara-mara atau yang lebih parah lagi dengan bank. Tahukah anda ? Sebaik permohonan pinjaman peribadi anda dengan bank diluluskan, secara tidak langsung anda juga telah bekerja untuk bank berkenaan. Alangkah bertuahnya anda ! Tapi malangnya kali ini, "anda tidak bekerja untuk dibayar tetapi sebaliknya anda bekerja untuk membayar !" Perkara yang sama juga berlaku jika anda terjebak dengan skim bayaran ansuran mudah, kad kredit dan segala bentuk perbelanjaan yang melibatkan hutang yang berlebihan.
Jika anda berterusan mengamalkan pengurusan kewangan sebegini anda akan terus bekerja untuk wang. Untuk menjadi kaya anda perlu jadikan wang anda bekerja untuk anda...dan yang paling penting anda mestilah berfikiran kaya...:) Renungkanlah..

Salam kekayaan

Thinkerich