Sabtu, Disember 22, 2007

SILA AMBIL PERHATIAN !

Salam pembaca Blog Motivasi Kekayaan,

Kali ini saya masih lagi ingin membicarakan tentang kegiatan perniagaan MLM yang berbentuk pendapatan mudah dan segera. Sejak kebelakangan ini saya telah kerapkali dihubungi melalui SMS mahu pun telefon yang ingin mengajak dan memperkenalkan peluang buat duit melalui 'perniagaan MLM' dan yang amat menghairankan saya ianya pula dipelopori oleh bekas-bekas Jutawan dan mereka yang bergiat aktif dalam perniagaan MLM sebenar(konvensional) sebelum ini.

Saya masih ingat suatu ketika dahulu mereka ini begitu yakin dan petah membentangkan pelan pemasaran MLM yang tulen. Siap dengan membuat perbandingan dan perbezaan antara MLM, Piramid dan Skim Cepat Kaya. Malangnya kini saya lihat mereka pula boleh melakukan perkara sebaliknya dengan ghairah mengajak orang ramai untuk menyertai program sebegitu rupa.

Hairan Bin Ajaib saya dibuatnya. Malangnya mereka tidak berjaya mempengaruhi saya kerana saya masih berpegang pada apa yang pernah mereka ajar kepada saya suatu ketika dahulu. Katanya;

"Perniagaan MLM sebenar lebih fokus kepada jualan produk melalui networking manakala perniagaan bertopengkan MLM (Piramid, Binari) lebih mengutamakan kepada jumlah keahlian yang menyertai kumpulan mereka dan kebiasaannya jumlah yuran keahliannya melebihi ratusan ringgit bahkan ada yang mencecah ribuan ringgit".

Pendek kata, perniagaan sebenar ialah menjual produk dan semakin banyak produk terjual dalam networking anda maka lebih besar komisyen yang anda boleh terima. Tetapi dalam perniagaan piramid/binari, semakin awal anda menyertainya dan yang paling penting jadilah orang terawal, maka peluang anda untuk mengaut lebih keuntungan adalah semakin cerah, secerah mentari pagi! Ini kerana semakin ramai orang menyertai networking anda maka semakin banyak komisyen yang anda dapat atau lebih tepat lagi semakin ramai yang anda cari dan menyertai anda maka semakin banyaklah bonus anda!

Jadi saya nasihatkan kepada semua agar lebih berhati-hati dan ambil perhatian tentang perkara ini sebelum menyertai mana-mana bentuk perniagaan sebegini. Ambil perhatian dan pastikan pelan pemasaran yang dijalankan memberi keutamaan kepada jualan produk melalui networking dan bukannya dengan mencari dan mendapatkan keahlian (cari orang) dengan yuran keahlian yang tinggi.

Ingat berhati-hati dan berfikiran kaya selalu dan bukan untuk berfikiran cepat kaya! Jika tidak anda pasti terjerat dan tertipu!

Salam Kekayaan,

Thinkerich

Selasa, Disember 18, 2007

JUTAWAN MLM, BUKAN JUTAWAN SEBENAR..?

Salam pembaca blog Motivasi Kekayaan,

Apa khabar? Semoga ceria dan baik hendaknya. Baiklah kita terus pada topik kita yang agak PANAS kali ini...."JUTAWAN MLM, BUKAN JUTAWAN SEBENAR..?

Saya terpanggil untuk menjelaskan perkara ini memandangkan masih terdapat dikalangan kita yang masih keliru dengan makna Jutawan yang sebenarnya. Saya pernah memberi sedikit komen dan pandangan di dalam sebuah blog kelolaan Jutawan Internet yang terkenal. Namun begitu pandangan saya tidak disokong dan diterima oleh beberapa orang pengunjung blog berkenaan.

Mereka seperti menyalahkan saya, apabila saya menyatakan Jutawan MLM bukan Jutawan yang sebenar! Saya menyatakan bahawa tidak SEMUA! Maksud saya di sini terdapat segelintir daripada mereka yang pernah mencapai PANGKAT atau RANK dalam sesebuah Pelan Pemasaran MLM ini kini sudah tidak lagi bergelar jutawan. Jadi kita perlu membezakan di antara PANGKAT dan nilai sebenar yang dimiliki oleh seseorang JUTAWAN. Saya dapat rasakan bahawa masih ramai yang tidak faham mahu pun keliru dengan makna Jutawan yang sebenarnya.

Baiklah biar saya jelaskan dalam kebanyakan pelan pemasaran MLM, mereka yang dinobatkan pangkat Jutawan adalah mereka yang telah memenuhi syarat untuk mencapai target jualan sesebuah syarikat MLM tersebut. Sebagai contoh, katakan anda telah memenangi insentif kereta mewah dan juga rumah. Pihak syarikat hanya memberi insentif wang pendahuluan dan juga peratusan bonus bulanan untuk kereta dan rumah yang dimiliki. Namun begitu untuk menikmati bonus tersebut, seseorang itu juga perlu mencapai tahap jualan yang telah ditetapkan . Jika tidak mencapai syarat yang ditetapkan, maka tiadalah bayaran insentif kereta dan rumah tersebut!!!


Apa yang saya ingin nyatakan di sini adalah berkenaan realiti sebenar kehidupan Jutawan MLM ini. Memang saya tidak nafikan ada di kalangan mereka yang bergelar Jutawan dan masih mempertahankan status Jutawan mereka.

Tetapi harus diingat kekayaan sebenar bukan dinilai daripada seberapa banyak wang yang anda perolehi tetapi berapa banyak nilai aset bersih(tidak termasuk tanggungan atau apa sahaja yang melibatkan anda berhutang dengan syarikat kewangan mahu pun bank) yang anda miliki.

Apa yang ingin saya nyatakan di sini status Jutawan MLM ini hanyalah sementara dan seketika. Jika kita tidak bijak menguruskan kewangan kita, maka tidak mustahil ianya akan hilang daripada genggaman kita. Ini adalah kenyataan sebenar dan saya mengenali dengan rapat beberapa orang yang terlibat dan pernah mencapai kejayaan tertinggi di dalam pelan pemasaran MLM ni dan akhirnya kini berhempas pulas mencari peluang-peluang lain untuk menampung kehidupan mereka. Walau pun pernah suatu ketika mengecapi pendapatan bulanan puluhan ribu ringgit. Dan yang paling menyedihkan lagi, ada di kalangan mereka ini menggunakan status dan networking mereka sebelum ini untuk menarik mereka untuk turut serta dengan program-program ala-ala 'Skim Cepat Kaya', 'Piramid', 'Binari' dan ada juga yang sememangnya SKIM CEPAT KAYA!!!

Perniagaan MLM pun sama macam perniagaan yang lain. Ada turun naiknya. Kalau sedang naik, untung lah mereka tetapi kalau dah jatuh merundum, tiada orang yang ingin membeli produk berkenaan maka bonus pendapatan juga akan berkurangan.

Dan kesudahannya,Kereta mewah entah kemana, insentif rumah hilang ntah kemana? Ini semua kerana tiada pengetahuan yang cukup untuk menjaga dan mengembangkan kekayaan yang pernah dikecapi.

Pendapatan bonus bulanan jika dapat puluhan ribu dan dibelanjakan dengan puluhan ribu juga sebenarnya tidak memberi sebarang makna. Keadaannya hampir sama dengan mereka yang berpendapatan RM 500.00 sebulan. Dapat RM 500 belanja RM 1000. Jadi apa bezanya...

Salam Kekayaan,

Thinkerich

Rabu, Disember 12, 2007

JANGAN KECEWA....

Salam pembaca sekalian.

Sudah agak lama saya tidak mengemaskini artikel pada blog ini. Saya mohon maaf kerana sejak akhir-akhir ini saya agak terikat dengan rutin harian saya yang lain. Namun begitu harapan saya anda semuanya jangan berada dalam keadaan kecewa. Ya, jangan kecewa....

Terlalu ramai orang di dunia ini memilih untuk kecewa sebaik sahaja mengalami sesuatu yang tidak memenuhi keinginan dan impian mereka. Mengapa berlaku perkara sebegini? Jawapannya cukup mudah! Kerana anda sendiri memilih untuk mewujudkan perasaan kecewa di dalam fikiran dan emosi anda. Kebanyakan mereka yang berpegang kepada keadaan ini adalah mereka yang berada di dalam kerugian. Apakah yang anda dapat jika anda membiarkan perasaan kecewa menguasai anda? Tiada apa-apa bukan selain anda merasakan diri anda sungguh teruk dan menyebabkan fizikal anda tidak bermaya, emosi tidak menentu dan fikiran kacau!

Tahukah anda bahawa perasaan kecewa itu bukanlah sesuatu yang semestinya wujud dalam diri anda? Sebenarnya anda boleh melupakan sahaja kekecewaan anda itu dan mewujudkan perkara yang sebaliknya tetapi kerana anda membenarkannya maka ianya menguasai diri anda. Jadi mulai sekarang jika anda merasa kecewa dengan sesuatu yang berlaku, ubah emosi dan fikiran anda pada perkara yang membantu untuk mewujudkan kegembiraan untuk anda. Biarkan kekecewaan itu berlalu. Kata orang usah dikenang perkara yang berlalu....

Adalah jauh lebih baik kita fikirkan apa yang patut kita lakukan untuk masa yang mendatang.

Salam kekayaan,

Thinkerich

Selasa, Disember 04, 2007

BERHATI-HATI JIKA INGIN KAYA...!

Salam kepada pembaca blog. Agak lama saya tidak update kandungan blog ini. Saya mohon maaf, kerana agak sibuk kebelakangan ini dengan rutin harian. Baiklah kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda satu lagi tips yang sangat menarik.

Selepas makan tengahari tadi, saya telah dihubungi oleh rakan karib saya. Sudah agak lama beliau tidak menghubungi saya. Namun kali ini saya agak terkejut dengan nada suara ghairah beliau. “Berita baik dan luarbiasa! Jadilah orang terawal meyertai program ini” Itulah ungkapan yang keluar dari mulut beliau, "peluang ini tidak boleh dilepaskan oleh sesiapa sahaja jika mahu menjadi kaya."

“Keluarkan wang RM 5,000.00, dan dapatkan seramai mungkin rakan-rakan untuk menyertai program ini! Dan dalam masa sebulan dari sekarang anda akan mendapat sebuah kereta BMW !”

Wah..wahh.wahhh…! hebat sungguh bunyinya dan saya percaya mereka yang tidak pernah berhadapan dengan Skim Cepat Kaya, Skim Piramid, Binari dan Pelaburan Internet pasti teruja dengan pulangan yang dijanjikan. Malangnya ada juga mereka yang pernah terkena atau menjadi mangsa penipuan pada skim sebelum ini masih terpengaruh. Nasihat saya kepada rakan saya dan semua agar hentikanlah dalam melakukan perkara-perkara sebegini. Sudahlah dan hentikanlah kepercayaan karut anda untuk menjadi kaya dengan cepat. Jika anda semua masih lagi dihampiri dengan mereka yang bermulut manis dan bercakap berdegar-degar tentang pulangan yang singkat, saya nasihatkan sekali lagi agar lari jauh-jauh. Bawa-bawalah untuk berfikir secara waras. Tiada sesiapa pun yang sudi berkongsi keuntungan dan kekayaan dengan anda.

Mereka mempelawa anda dengan nada ‘berkongsi’ tetapi jauh di lubuk hati mereka tidak lain hanya semata-mata untuk mendapatkan komisen hasil daripada wang yang anda keluarkan dan peserta lain di bawah mereka. Last-last mereka yang terdahulu juga untung. Yang menyertainya kemudian sekadar berputih mata dan hanya mampu mengigi jari. BMW ntah kemana, wang simpanan pun hangus begitu sahaja.

Jadi nasihat saya jika anda ingin menjadi kaya tambahkan pengetahuan kewangan anda. Belajar bagaimana kekayaan sebenarnya boleh diperolehi daripada mereka yang telah menjadi kaya. Jangan sekali-kali belajar daripada mereka yang 'mengajak anda untuk menjadi kaya!' Kerana mereka ini tiada lain semata-mata untuk menjadikan anda mangsa pembohongan mereka. Ingatlah bahawa fenomena ‘cepat kaya’ ini akan terus wujud dari masa ke semasa. Cuma gaya dan taktik mereka sahaja yang berbeza dengan kaedah yang lebih licik untuk memperbodohkan kita semua.

Jadi berfikiran ‘kaya’lah selalu dan bukannya ‘cepat kaya!’

Salam kekayaan

Thinkerich