Rabu, Februari 13, 2008

IBARAT MENUNGGU BULAN JATUH KE RIBA...

Salam Pembaca Blog Sekalian,

Ketika saya sedang asyik melayari internet, saya terserempak dengan satu forum yang agak menarik. Forum tersebut sememangnya hangat dan penuh dengan Harapan, fikiran positif dan Doa...

Kasihan...Kasihan.. Betul-betul kasihan,

Mereka semua tertipu! Ya, benar-benar tertipu! Namun begitu, mereka masih percaya dan cuba menegakkan benang yang basah. Inilah kisah mangsa-mangsa penipuan Skim-skim Pelaburan yang ntahapahapantah..yang sebenarnya dah berkubur pada pertengahan tahun 2007 lagi. Namun mereka ini masih diberi harapan oleh leader-leader mereka yang 2 x 5 juga dengan mereka yang tak tahu apa-apa. Cuma untuk menyedapkan hati para pelabur yang amat dermawan dan ingin cepat kaya itu maka berbagai harapan demi harapan ditaburkan. Dari satu jangkamasa ke satu masa. Namun wang keuntungan pelaburan tidak juga kunjung tiba....namun mereka masih setia ibarat menunggu bulan jatuh ke riba....

Ntahlah saya pun hairan dengan sesetengah masyarakat kita pada hari ini yang suka mengambil kesempatan dengan tergamak menipu menjayakan pelbagai bentuk pelaburan palsu dengan mengaitkannya pula dengan pemimpin politik, ekonomi negara dan serantau. Itulah bahananya jika kita tiada ilmu pengetahuan tentang pelaburan. Terima bulat-bulat apa yang diperkatakan tanpa usul periksa. Yang mereka tahu melabur sejumlah duit, goyang kaki dan dapatkan keuntungan. Semudah itu untuk menjadi kaya...itulah yang mereka fikirkan.

Yang lucunya,,,boleh pula mereka percaya akan cerita-cerita mengarut bentuk pelaburan yang mengaitkannya dengan dana luar yang dibekukan di luar negara. Yang amat saya hairankan dan bertambah Hairan Bin Ajaib pula apakah kaitannya, dengan wang pelaburan kita dengan wang haram yang dibekukan di negara luar tersebut??? Bukankah nampak sangat pembohongan NYATA semata-mata untuk merompak wang para pelabur(pelebur) mereka sahaja.


Saya sebenarnya juga amat bersimpati dengan mangsa-mangsa pelaburan ini. Ada di antara mereka sanggup berhutang ribuan ringgit malahan ada puluhan ribu ringgit semata-mata ingin menyertai pelaburan MISTIK ini. Ya, Pelaburan Mistik. Mereka percaya akan ada keuntungan tetapi wang pelaburan mereka hilang begitu sahaja dan keuntungannya hanya samar-samar sahaja. Nasihat saya kepada mangsa yang terlibat, usahlah buang masa dengan menanti dan terus berharap dengan sesuatu yang MUSTAHIL. Ada baiknya tuan-puan berdoa agar diberi petunjuk dan jalan agar dimurahkan rezeki bagi mendapatkan keberkatan dunia dan akhirat. Mula berfikir kehadapan. Timba ilmu pengetahuan yang sebenar tentang kewangan dan pelaburan. Anggaplah apa yang terjadi sebagai satu yuran pembelajaran anda dalam kelas pelaburan anda yang pertama. Bertindaklah dan fikirkan sesuatu yang realiti bukan fantasi dan penuh mistik!

Bagi mereka yang ingin jadi kaya, prinsip ini harus dipegang dan disemat di dalam minda anda. Sebenarnya tiada siapa pun yang sanggup untuk berkongsi keuntungan yang tinggi dengan anda sekiranya anda hanya melaburkan wang anda tanpa melibatkan sebarang usaha. Jika anda masih belum faham, biarkan saya bertanyakan kepada anda satu soalan? Sanggupkah anda berkongsi 50% wang hasil penat lelah dan kerja keras anda dengan orang lain yang tidak berbuat apa-apa? Lihat sendiri pihak Bank, mereka menggunakan wang para penyimpan untuk digunakan bagi menjana hasil pendapatan mereka. Namun berapa peratuskah keuntungan yang dikongsi kepada para pelanggan mereka? Kurang 2%...

Oleh itu, saudara - saudari yang saya kasihi sekalian, ingatlah bahawa berfikiran untuk kaya itu betul tetapi apabila berfikiran untuk cepat kaya itu, pasti pelbagai masalah akan timbul. Jadi renung-renungkanlah...

Salam kekayaan,

Thinkerich

Selasa, Februari 05, 2008

SESSI BERFIKIR.....

Salam kepada semua pembaca blog Pemikir Kaya!


"Pernahkah anda memerhati bagaimana seseorang usahawan yang berjaya menjalankan perniagaan mereka?"

"Pernahkah pula anda melihat usahawan yang kurang berjaya melakukan usahaniaga mereka?"


Mengapa saya bertanya kedua-dua persoalan tersebut kepada anda? Kerana saya inginkan minda anda sentiasa sibuk memikirkan situasi dipersekitaran anda. Ini kerana ia akan lebih membantu minda anda agar lebih peka dan sentiasa cergas, cerdas dan bermotivasi ke arah kekayaan dan kejayaan hidup.

Baiklah, saya tinggalkan anda semua dengan persoalan ini untuk sama-sama kita fikirkan. Anda semua amatlah digalakkan untuk memberi pendapat dan ulasan bergantung kepada apa yang minda anda cernakan daripada permerhatian dan penelitian anda sendiri.

Harus diingat, di sini tiada jawapan yang betul dan tiada jawapan yang salah kerana persoalannya adalah berkisar kepada pendapat anda dan bukan pendapat orang lain.

Jadi, apa pendapat atau komen anda?

Thinkerich


Ahad, Februari 03, 2008

MEMBERI SEBELUM MENERIMA

Salam pembaca blog,

Apa khabar? Semoga sihat sejahtera hendaknya.

Pernahkah anda memberi sesuatu dengan ikhlas? Ya, ikhlas...memberi sesuatu dengan rela hati tanpa mengharapkan sesuatu balasan. Saya pasti tentu ada bukan? Tetapi kadangkala kebanyakan daripada kita apabila memberi dengan ikhlas, hanya dimulut dan bukan di hati.

Maka kesannya apa yang anda beri itu tidak memberi hasil dan pulangan yang berganda. Sebagai contoh anda tiba-tiba didatangi oleh seorang peminta sedekah ketika anda sedang asyik menikmati juadah makan tengahari, bersama kawan-kawan atau teman wanita anda. Demi untuk menjaga maruah dan air muka anda agar tidak kelihatan seperti seorang yang bakhil dan kedekut, lalu anda pun menghulurkan sekeping wang kertas RM5.00 (yang pada asalnya untuk belanja rokok anda!) Lalu peminta sedekah tersebut berlalu dan mengucapkan terima kasih kepada anda. Tetapi dalam masa yang sama anda masih berkira-kira di dalam kepala anda tentang jumlah RM5.00 yang telah anda keluarkan. "Menyesal sungguh rasanya", bentak hati kecil anda.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Jika dilihat pada contoh di atas anda telah menjalankan suatu kebaikan atau kebajikan, namun begitu kerana tiada sifat ikhlas dalam diri anda maka perbuatan itu tidak mendatangkan pulangan yang membanggakan untuk anda sekadar kebaikan kepada penerima tersebut. Jika anda pernah melalui perkara sedemikian dan terdetik perasaan sedemikian anda sepatutnya cepat-cepat mengubahnya dengan menganggap bahawa itu adalah rezeki mereka yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t untuknya. Maka anda harus ingat bahawa wang RM5.00 itu hanyalah sekadar anda pegang untuk sementara sahaja atau dengan kata lain sebagai 'pemegang amanah'.

Jika anda dapat berpegang kepada prinsip ini, aliran wang atau rezeki anda akan mengalir dengan lancar dan teratur. Anda tentu pernah melihat mereka yang mempunyai pendapatan wang yang banyak dan dalam masa yang sama memiliki simpanan yang banyak kelihatan sentiasa tidak cukup atau sering kesempitan wang. Rezeki mereka kelihatan tersekat-sekat dek kerana terlalu berkira untuk diinfak ke jalan kebajikan.

Suatu ketika dahulu sewaktu saya masih kecil, lebih kurang 20 tahun lalu, saya sering melihat seorang lelaki yang mengeluarkan RM50.00 untuk derma masjid setiap kali solat Jumaat.(RM50.00 pada 20 tahun yang lalu satu jumlah yang besar!) Saya sering tertanya-tanya, kenapa beliau sanggup mengeluarkan sejumlah wang yang besar hanya untuk derma tabung masjid? Apa yang beliau dapat? Sedangkan hidupnya ketika itu tidaklah mewah ataupun kaya. Itulah persoalan seorang kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa tentang wang dan konsep rezeki ketika itu.

Baru-baru ini ketika saya berkesempatan pulang ke kampung, saya sempat bertemu dan bersua muka dengan individu tersebut yang saya panggil sebagai Pakcik Saufi. Saya dapat tahu beliau kini telah memiliki beberapa cawangan kedai emas dan beliau kini cukup dikenali sebagai seorang pemaju perumahan yang berjaya dan dermawan. (Pakcik Saufi dahulunya hanyalah seorang pemuda biasa yang bekerja sebagai seorang tukang emas dengan teman arwah bapanya). Beliau juga kini sentiasa membantu keluarga miskin di sekitar kampung. Berkat daripada hasil kerja keras dan tabiatnya yang suka menyumbang itu kini beliau hidup dalam penuh kebahagian. Suatu sikap yang patut dipuji dan diamalkan oleh setiap insan di muka bumi ini.

Suatu lagi kisah daripada seorang teman saya, Sebelum ini beliau pernah menceritakan pengalaman dan nikmat hasil daripada sikap dan tabiat memberi sebelum menerima ini. Sebelum mengamalkan konsep ini, beliau sering mengadu menghadapi masalah kewangan- tidak cukup wang walaupun setiap bulan beliau telah mengagih-agihkan perbelanjaannya. Namun begitu, baru-baru ini beliau datang memberitahu saya bahawa beliau merasa cukup tenang dan lapang sekali. Katanya, dahulu beliau begitu berkira untuk memperuntukan sebahagian wang pendapatannya untuk menunaikan zakat pendapatan kerana beranggapan sekiranya beliau membayar zakat setiap bulan, wang perbelanjaannya tidak cukup.

Namun, begitu pada suatu hari beliau telah mendapat petunjuk untuk mula mengeluakan zakat pendapatan kerana beliau percaya bahawa rezeki itu datangnya daripada Allah s.w.t, dan jika zakat itu sememangnya adalah sesuatu yang telah dituntut di dalam rukun Islam, kenapa harus dia meninggalkannya amalan tersebut. Dan Allah s.w.t sendiri telah berjanji bahawa barangsiapa yang mengeluarkan hartanya ke jalan Allah, maka tidak akan dikurang sedikit pun malahan Allah akan menambahkannya. Berkat tawakal dan kesungguhannya mengeluarkan zakat setiap bulan, beliau mengaku dan kadangkala merasa agak hairan kerana beliau kini tidak lagi mengalami masalah ketidakcukupan wang. Jika diteliti dan dikira secara logiknya memang tidak akan cukup! tetapi dari mana beliau memperolehi rezeki selebihnya? Saya percaya anda sudah pasti tahu akan jawapannya bukan? ALLAH s.w.t...

Oleh itu, tuan-tuan dan puan-puan yang saya kasihi sekalian. Jika kita dapat menyemai tabiat memberi sebelum menerima dan sentiasa bersyukur ke atas apa yang kita terima, pasti kita akan mendapat kebaikannya kelak. Tidak kiralah seberapa kecil pendapatan anda, jika anda mampu keluarkannya, maka laksanakanlah. Kadangkala seseorang yang hanya memperolehi pendapatan kecil yang sentiasa bersyukur dan mengeluarkan sedekah lebih kaya daripada mereka yang berpendapatan tinggi tetapi berkira-kira untuk mengeluarkan sedekah.

Wallahualam..

Salam kekayaan,

Thinkerich