Sabtu, Disember 22, 2007

SILA AMBIL PERHATIAN !

Salam pembaca Blog Motivasi Kekayaan,

Kali ini saya masih lagi ingin membicarakan tentang kegiatan perniagaan MLM yang berbentuk pendapatan mudah dan segera. Sejak kebelakangan ini saya telah kerapkali dihubungi melalui SMS mahu pun telefon yang ingin mengajak dan memperkenalkan peluang buat duit melalui 'perniagaan MLM' dan yang amat menghairankan saya ianya pula dipelopori oleh bekas-bekas Jutawan dan mereka yang bergiat aktif dalam perniagaan MLM sebenar(konvensional) sebelum ini.

Saya masih ingat suatu ketika dahulu mereka ini begitu yakin dan petah membentangkan pelan pemasaran MLM yang tulen. Siap dengan membuat perbandingan dan perbezaan antara MLM, Piramid dan Skim Cepat Kaya. Malangnya kini saya lihat mereka pula boleh melakukan perkara sebaliknya dengan ghairah mengajak orang ramai untuk menyertai program sebegitu rupa.

Hairan Bin Ajaib saya dibuatnya. Malangnya mereka tidak berjaya mempengaruhi saya kerana saya masih berpegang pada apa yang pernah mereka ajar kepada saya suatu ketika dahulu. Katanya;

"Perniagaan MLM sebenar lebih fokus kepada jualan produk melalui networking manakala perniagaan bertopengkan MLM (Piramid, Binari) lebih mengutamakan kepada jumlah keahlian yang menyertai kumpulan mereka dan kebiasaannya jumlah yuran keahliannya melebihi ratusan ringgit bahkan ada yang mencecah ribuan ringgit".

Pendek kata, perniagaan sebenar ialah menjual produk dan semakin banyak produk terjual dalam networking anda maka lebih besar komisyen yang anda boleh terima. Tetapi dalam perniagaan piramid/binari, semakin awal anda menyertainya dan yang paling penting jadilah orang terawal, maka peluang anda untuk mengaut lebih keuntungan adalah semakin cerah, secerah mentari pagi! Ini kerana semakin ramai orang menyertai networking anda maka semakin banyak komisyen yang anda dapat atau lebih tepat lagi semakin ramai yang anda cari dan menyertai anda maka semakin banyaklah bonus anda!

Jadi saya nasihatkan kepada semua agar lebih berhati-hati dan ambil perhatian tentang perkara ini sebelum menyertai mana-mana bentuk perniagaan sebegini. Ambil perhatian dan pastikan pelan pemasaran yang dijalankan memberi keutamaan kepada jualan produk melalui networking dan bukannya dengan mencari dan mendapatkan keahlian (cari orang) dengan yuran keahlian yang tinggi.

Ingat berhati-hati dan berfikiran kaya selalu dan bukan untuk berfikiran cepat kaya! Jika tidak anda pasti terjerat dan tertipu!

Salam Kekayaan,

Thinkerich