Isnin, April 30, 2007

Makanan Untuk Menjadi Kaya

Salam Sejahtera,

Topik hari ini agak luarbiasa bunyinya. "Makanan Untuk Menjadi Kaya!" Sudah tentu selepas ini ramai yang akan berebut-rebut cuba mendapatkannya di pasaran walaupun berapa pun harganya. Apa tidaknya hanya dengan makan anda boleh menjadi kaya? "Terlalu ajaib pulangannya?", kata salah seorang daripada mereka yang mendengarnya. "Erk..! tetapi ini bukannya seperti pulangan Skim Pelaburan Internet", jelas saya tetapi ianya adalah BENAR! Baiklah anda tidak percaya? Biar saya berkongsi dengan anda mengenai kajian ini jika anda semua serius untuk menjadi kaya melalui pemakanan anda.

Menurut kajian pakar, IQ seseorang dipengaruhi oleh keturunan, tetapi kecerdasan otak dan kesihatan badan boleh diperbaiki dengan mengambil nutrien yang seimbang untuk membantu perkembangan minda yang cemerlang.
Statistik menunjukkan skor purata IQ manusia adalah 100 dan orang biasa memiliki skor IQ antara 85 hingga 115. Tahap IQ seseorang juga dipengaruhi oleh bekalan dan penggunaan nutrien oleh sel-sel otak.
Menurut kajian yang dibuat oleh saintis, mereka mendapati tahap kealkalian dan keasidan cecair dalam otak menjadi penentu tahap IQ. IQ menjadi rendah apabila cecair dalam otak bersifat asid (benarlah ada petua yang mengatakan pengambilan makanan seperti asam jeruk boleh melemahkan IQ) dan tinggi apabila bersifat beralkali. Bagi meningkatkan kecerdasan otak, perbanyakkan mengambil makanan bersifat alkali.
Makanan berasid mengandungi fosforus, klorin, sulfur dan iodin misalnya daging, bijirin, lemak dan minyak. Protein daripada makanan jenis ini berasid dan pengambilan yang terlalu banyak boleh menyebabkan kalsium dan Vitamin B1 dalam tubuh badan berkurangan. Akibatnya mental menjadi tidak stabil, lembap dan peredaran darah tidak lancar. Makanan alkali pula kaya dengan kalium, natrium, kalsium dan magnesium seperti buah-buahan, sayuran, kekacang, bahan tenusu dan minuman beralkali. Nasihat saya buat pilihan makanan yang tepat agar anda dapat memelihara dan mengembangkan potensi minda anda dan seterusnya anda berupaya untuk berfikiran kaya, jadi pilihlah makanan yang boleh membantu meningkatkan kekayaan fikiran anda.

Salam Kekayaan,

Thinkerich