Khamis, November 15, 2007

KERETA - SIMBOL KEKAYAAN?

Salam bahagia,

Apa khabar semua, para pembaca blog thinkerich? Semoga anda semua berada dalam ketenangan kewangan yang dirahmati.

Baiklah, kali ini saya ingin berkongsi dengan anda tentang bagaimana cara kita berfikir apabila berhadapan dengan simbol kekayaan. Ramai yang beranggapan bahawa mereka yang berkereta mewah itu adalah mereka yang kaya. Betul bukan? Tetapi mengapa kita beranggapan sedemikian? Ini adalah disebabkan kita telah dipengaruhi dengan apa yang kita lihat, bukan pada apa yang kita tahu! Kita lihat mentol lampu menyala apabila kita menghidupkan suis lampu, namun kita tidak tahu bagaimana arus elektrik itu mengalir!

Baiklah, seringkali di kaca TV kita digambarkan dengan lakonan, bahawa mereka yang kaya raya itu berkereta mewah.Tetapi tahukah anda sebenarnya tidak semua yang berkereta mewah itu, orang kaya dan tidak semestinya orang kaya itu berkereta mewah! Mungkin kita lihat mereka berkereta mewah tetapi kita tidak tahu kedudukan kewangan sebenar mereka yang rata-rata terpaksa menanggung hutang yang tinggi. Ramai dikalangan kita yang begitu ‘obses’ untuk memiliki kereta mewah kononya untuk menjaga status agar kelihatan bergaya dan kaya. Malangnya mereka ini terpaksa mengikat perut semata-mata kerana ingin menjaga ego mereka.

Sebaliknya mereka yang berkereta sederhana, biasanya lebih kaya daripada mereka yang ‘kelihatan kaya.’ Lazimnya mereka mempunyai lebihan wang yang diuruskan untuk menjana kekayaan mereka seperti simpanan dan pelaburan. Malangnya mereka yang memilih untuk berkereta mewah atau besar ini sering kekurangan wang kerana setiap masa dari saat mula memilikinya hingga ke akhirnya, mereka terpaksa menanggung semua perkara-perkara besar, mengeluarkan jumlah wang yang besar setiap bulan untuk bayaran ansuran bulanan, petrol, penyelenggaraan, insuran dan cukai jalan malahan terpaksa berhutang besar untuk segala-galanya semata-mata untuk kereta mewah tersebut. Akhirnya mereka ini akan mewah dengan hutang dikeliling pinggang. Jadi sekiranya anda ingin menjadi kaya, jangan 'berlakon' kaya sebelum anda benar- benar mampu untuk memilikinya!

Salam Kekayaan,

Thinkerich