Ahad, Februari 03, 2008

MEMBERI SEBELUM MENERIMA

Salam pembaca blog,

Apa khabar? Semoga sihat sejahtera hendaknya.

Pernahkah anda memberi sesuatu dengan ikhlas? Ya, ikhlas...memberi sesuatu dengan rela hati tanpa mengharapkan sesuatu balasan. Saya pasti tentu ada bukan? Tetapi kadangkala kebanyakan daripada kita apabila memberi dengan ikhlas, hanya dimulut dan bukan di hati.

Maka kesannya apa yang anda beri itu tidak memberi hasil dan pulangan yang berganda. Sebagai contoh anda tiba-tiba didatangi oleh seorang peminta sedekah ketika anda sedang asyik menikmati juadah makan tengahari, bersama kawan-kawan atau teman wanita anda. Demi untuk menjaga maruah dan air muka anda agar tidak kelihatan seperti seorang yang bakhil dan kedekut, lalu anda pun menghulurkan sekeping wang kertas RM5.00 (yang pada asalnya untuk belanja rokok anda!) Lalu peminta sedekah tersebut berlalu dan mengucapkan terima kasih kepada anda. Tetapi dalam masa yang sama anda masih berkira-kira di dalam kepala anda tentang jumlah RM5.00 yang telah anda keluarkan. "Menyesal sungguh rasanya", bentak hati kecil anda.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Jika dilihat pada contoh di atas anda telah menjalankan suatu kebaikan atau kebajikan, namun begitu kerana tiada sifat ikhlas dalam diri anda maka perbuatan itu tidak mendatangkan pulangan yang membanggakan untuk anda sekadar kebaikan kepada penerima tersebut. Jika anda pernah melalui perkara sedemikian dan terdetik perasaan sedemikian anda sepatutnya cepat-cepat mengubahnya dengan menganggap bahawa itu adalah rezeki mereka yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t untuknya. Maka anda harus ingat bahawa wang RM5.00 itu hanyalah sekadar anda pegang untuk sementara sahaja atau dengan kata lain sebagai 'pemegang amanah'.

Jika anda dapat berpegang kepada prinsip ini, aliran wang atau rezeki anda akan mengalir dengan lancar dan teratur. Anda tentu pernah melihat mereka yang mempunyai pendapatan wang yang banyak dan dalam masa yang sama memiliki simpanan yang banyak kelihatan sentiasa tidak cukup atau sering kesempitan wang. Rezeki mereka kelihatan tersekat-sekat dek kerana terlalu berkira untuk diinfak ke jalan kebajikan.

Suatu ketika dahulu sewaktu saya masih kecil, lebih kurang 20 tahun lalu, saya sering melihat seorang lelaki yang mengeluarkan RM50.00 untuk derma masjid setiap kali solat Jumaat.(RM50.00 pada 20 tahun yang lalu satu jumlah yang besar!) Saya sering tertanya-tanya, kenapa beliau sanggup mengeluarkan sejumlah wang yang besar hanya untuk derma tabung masjid? Apa yang beliau dapat? Sedangkan hidupnya ketika itu tidaklah mewah ataupun kaya. Itulah persoalan seorang kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa tentang wang dan konsep rezeki ketika itu.

Baru-baru ini ketika saya berkesempatan pulang ke kampung, saya sempat bertemu dan bersua muka dengan individu tersebut yang saya panggil sebagai Pakcik Saufi. Saya dapat tahu beliau kini telah memiliki beberapa cawangan kedai emas dan beliau kini cukup dikenali sebagai seorang pemaju perumahan yang berjaya dan dermawan. (Pakcik Saufi dahulunya hanyalah seorang pemuda biasa yang bekerja sebagai seorang tukang emas dengan teman arwah bapanya). Beliau juga kini sentiasa membantu keluarga miskin di sekitar kampung. Berkat daripada hasil kerja keras dan tabiatnya yang suka menyumbang itu kini beliau hidup dalam penuh kebahagian. Suatu sikap yang patut dipuji dan diamalkan oleh setiap insan di muka bumi ini.

Suatu lagi kisah daripada seorang teman saya, Sebelum ini beliau pernah menceritakan pengalaman dan nikmat hasil daripada sikap dan tabiat memberi sebelum menerima ini. Sebelum mengamalkan konsep ini, beliau sering mengadu menghadapi masalah kewangan- tidak cukup wang walaupun setiap bulan beliau telah mengagih-agihkan perbelanjaannya. Namun begitu, baru-baru ini beliau datang memberitahu saya bahawa beliau merasa cukup tenang dan lapang sekali. Katanya, dahulu beliau begitu berkira untuk memperuntukan sebahagian wang pendapatannya untuk menunaikan zakat pendapatan kerana beranggapan sekiranya beliau membayar zakat setiap bulan, wang perbelanjaannya tidak cukup.

Namun, begitu pada suatu hari beliau telah mendapat petunjuk untuk mula mengeluakan zakat pendapatan kerana beliau percaya bahawa rezeki itu datangnya daripada Allah s.w.t, dan jika zakat itu sememangnya adalah sesuatu yang telah dituntut di dalam rukun Islam, kenapa harus dia meninggalkannya amalan tersebut. Dan Allah s.w.t sendiri telah berjanji bahawa barangsiapa yang mengeluarkan hartanya ke jalan Allah, maka tidak akan dikurang sedikit pun malahan Allah akan menambahkannya. Berkat tawakal dan kesungguhannya mengeluarkan zakat setiap bulan, beliau mengaku dan kadangkala merasa agak hairan kerana beliau kini tidak lagi mengalami masalah ketidakcukupan wang. Jika diteliti dan dikira secara logiknya memang tidak akan cukup! tetapi dari mana beliau memperolehi rezeki selebihnya? Saya percaya anda sudah pasti tahu akan jawapannya bukan? ALLAH s.w.t...

Oleh itu, tuan-tuan dan puan-puan yang saya kasihi sekalian. Jika kita dapat menyemai tabiat memberi sebelum menerima dan sentiasa bersyukur ke atas apa yang kita terima, pasti kita akan mendapat kebaikannya kelak. Tidak kiralah seberapa kecil pendapatan anda, jika anda mampu keluarkannya, maka laksanakanlah. Kadangkala seseorang yang hanya memperolehi pendapatan kecil yang sentiasa bersyukur dan mengeluarkan sedekah lebih kaya daripada mereka yang berpendapatan tinggi tetapi berkira-kira untuk mengeluarkan sedekah.

Wallahualam..

Salam kekayaan,

Thinkerich

4 ulasan:

dr-fritzs berkata...

Tahniah Saudara...
Anda memang seorang pemikir kekayaan..heheh :p
teruskan memberi informasi melalui blog anda ini...saya akan kerap melawati blog anda...tahniah diucapkan...
bye2..

-"Thinkerich"- berkata...

Saudara dr-fritzs...

Terima kasih di atas kunjungan saudara ke blog pemikir kaya ini. Semoga saudara terus mendapat manfaat hasil daripada perkongsian di blog ini.

Terima kasih sekali lagi...

Salam kekayaan

Thinkerich

dr-fritzs berkata...

Salam...
Saya amat bersetuju dengan pandangan saudara..sesungguhye kekayaan itu bukan hanya untuk kita menduniakan ye sahaja...tetapi untuk mendapatkan keberkatan juga..dengan kekayaan,kta dapat menginfaqkan kekayaan kita ke jalan yang benar(Sedekah,Zakat).

Baiklah,situasi sekarang bagi peniaga2 atau usahawan internet mula mendapatkan hasil pendapatan mereka...tidak salah rasanya jika pendapatan itu kita salurkan apa yg termampu oleh kita kepada orang2 yg memerlukanya..

itu saje kot nak berkongsi pendapat.hehe

-"Thinkerich"- berkata...

Salam..

Saudara dr-fritzs,

Ya, benar sekali pendapat saudara...saya juga bersetuju dengan apa yang saudara perkatakan itu.

Semoga saudara dikurniakan rezeki yang melimpah ruah di dunia ini agar sama-sama dapat menyumbang untuk kebaikan seluruh umat manusia...

Salam kekayaan,

Thinkerich

p/s: berkongsi pendapat dan ilmu pengetahuan juga satu bentuk sedekah yang dituntut. Wallahualam.